Wednesday, September 18, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    KPM setuju 10 tuntutan Sarawak bagi perkukuh pendidikan 

    KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju sepenuhnya dengan 10 tuntutan dikemukakan kerajaan negeri Sarawak menerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) dalam usaha memperkukuhkan pendidikan di Sarawak.

    KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antaranya usaha mengukuhkan penglibatan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), kebenaran mengambil guru Contract of Service (CoS) tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). 

    Selain itu, pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan dan keutamaan serta penglibatan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan.

    “KPM turut bersetuju memberi perwakilan kuasa melulus projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak lain selain KPM kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut memaklumkan mesyuarat JTBPP Negeri Sarawak telah diadakan Februari lalu manakala Mesyuarat JTBPP Negeri Sabah pula akan dilangsungkan Oktober depan. 

    KPM memaklumkan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam dilihat dapat memperkukuhkan lagi pendidikan di Sabah dan Sarawak. – Bernama

    Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antrabangsa Sabah, (SICC) pada 12 September. KPM memaklumkan mesyuarat tersebut dilihat dapat memperkukuhkan lagi pendidikan di Sabah dan Sarawak. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda