Filem Netflix yang paling laku musim panas ini, KPop Demon Hunters telah melakukan lebih daripada sekadar mencatat rekod pada platform penstriman tersebut bahkan memberi inspirasi kepada acara peminat di seluruh dunia.
Filem animasi itu mengisahkan tentang sekumpulan gadis K-pop bernama Huntr/x yang menentang syaitan yang menyamar sebagai sekumpulan lelaki, Saja Boys.
Gadis Huntr/x termasuk penyanyi Rumi (disuarakan oleh Arden Cho), Mira (disuarakan oleh May Hong) dan Zoey (disuarakan oleh Ji-young Yoo).
Mereka mempersembahkan lagu-lagu asli dalam filem yang disuarakan oleh penyanyi Ejae (Rumi), Audrey Nina (Mira) dan Rei Ami (Zoey).
Sehingga 15 Oktober, filem itu mendapat lebih daripada 325 juta tontonan.
Oleh itu, tidak hairanlah bahawa peminat-peminat atau fandom telah mengambil alih dan menganjurkan semua jenis acara KPop Demon Hunter di seluruh dunia, daripada nyanyian bersama, kepada pameran muzium dan juga pertunjukan cahaya.
Netflix turut mengeluarkan filem versi nyanyian bersama KPop Demon Hunters pada akhir Ogos selepas tayangan di pawagam menarik peminat di Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan Britain.
Disebabkan acara itu sangat popular, Netflix membawakan filem nyanyian bersama kembali ke pawagam dari 31 Oktober hingga 2 November di beberapa pawagam termasuk Amerika Syarikat, Britain, Ireland, Korea Selatan, Sepanyol, Jerman, Belanda, Brazil, Mexico, Argentina, Chile, Australia dan New Zealand.
Sementara itu, Taman Ttukseom Hangang di Seoul menjadi tuan rumah kepada siri persembahan cahaya dron yang memaparkan imej daripada filem tersebut.
Pertunjukan itu adalah sebahagian daripada Persembahan Cahaya Sungai Han yang biasa di bandar tersebut sekali gus menjadi tarikan pelancong dengan lebih 22,000 orang untuk setiap persembahan.
Kira-kira 1,200 dron digunakan untuk membentuk imej Rumi, Mira dan Zoey, ahli Saja Boys dan beberapa adegan dari filem tersebut. – UPI


