KUCHING, 23 MEI – Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) Sarawak memperuntukkan RM9.2 juta bagi membantu 130,822 mangsa bencana di negeri itu.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bagi tahun lepas, sejumlah RM3.9 juta telah digunakan untuk membantu mangsa banjir, RM3.2 juta untuk mangsa kebakaran dan RM1.8 juta untuk membantu mangsa kemarau.
Selain itu, katanya, sejumlah RM200,000 lagi dibelanjakan untuk membantu mangsa ribut dan RM100,000 untuk membantu mangsa tanah runtuh.
“Tahun ini, bagi tempoh Januari hingga April, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah membelanjakan sejumlah RM3.5 juta untuk membantu 57,130 mangsa,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.
Fatimah berkata, bagi memantapkan kesiapsiagaan menghadapi bencana, JKMS menyediakan empat Depo Simpanan Keperluan Bencana terdiri daripada dua depo di Samarahan dan masing-masing satu di Kuching dan Miri.
Katanya, sebanyak 16 stor bencana turut disediakan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) serta daerah dan 27 Pangkalan Hadapan Bencana telah ditubuhkan di seluruh Sarawak. – Bernama