Wednesday, July 16, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KPWKM perluas Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak di 300 sekolah

    KUCHING, 22 JUN – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperluas Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak ke 300 sekolah di seluruh Malaysia tahun ini.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata program itu merupakan platform untuk setiap kanak-kanak di Malaysia menyuarakan hak mereka untuk membesar dalam suasana yang membina seperti di rumah, di sekolah dan di mana sahaja mereka
    berada.

    “Kita mahu anak-anak membesar dalam persekitaran yang selamat, disayangi dan dihormati.

    “Mereka berhak dilindungi daripada segala bentuk penderaan fizikal, emosi, seksual, pengabaian, mahupun eksploitasi sebagaimana digariskan dalam Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak Peringkat Bahagian Samarahan 2025 di Dewan Serba guna Student Pavilion Universiti Malaysia Sarawak, di sini, hari ini.

    Nancy berkata dalam dunia digital hari ini, risiko kepada kanak-kanak juga telah berubah, daripada penderaan secara fizikal kepada buli siber, eksploitasi dalam talian dan pengabaian emosi.

    “Ingatlah, tuan-tuan dan puan-puan, awda semua ialah mata dan telinga masyarakat.

    Lebih awal kita bertindak, lebih cepat kita boleh menyelamatkan nyawa dan masa depan anak-anak ini,” katanya.

    Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 572 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak telah didaftarkan dan 45 daripadanya berlaku di Samarahan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda