Saturday, January 11, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    KPWKM teliti semula permohonan pendaftaran taska

    PUTRAJAYA, 10 JAN – Permohonan pendaftaran dua Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di Selangor dan Sarawak yang terbabit dalam insiden kematian serta kecederaan anak damit baru-baru ini akan diteliti semula, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

    Beliau berkata pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan permohonan taska berkenaan susulan ia berada di bawah tindakan pihak polis.

    “…kerana ia melibatkan seorang kanak-kanak yang telah meninggal dunia (kes di Selangor). Ada perkara lain juga yang membuat kita sedikit berhati-hati untuk meluluskan, jadi perlu pertimbangan yang teliti kerana kalau kita meluluskan begitu sahaja, ianya boleh melibatkan keselamatan kanak-kanak itu lagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran plak taska berdaftar di Taska Seri Kandi, Jabatan Audit Negara di sini hari ini.

    Media semalam melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taska di Bandar Saujana Putra, Selangor.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di sebuah klinik di Bandar Saujana Putra 3:29 petang pada 3 Januari mengenai seorang anak damit lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri yang telah dibawa oleh pengasuh taska ke klinik terbabit.

    Sementara itu, kes di Batu Kawa, Kuching, Sarawak pula melibatkan anak damit berusia lapan bulan yang didapati mempunyai bekas gigitan pada bahagian belakang badan dan susulan daripada itu, polis menahan tiga wanita terdiri daripada pemilik taska dan dua penjaga premis berkenaan bagi membantu siasatan.

    Difahamkan kedua-dua taska itu tidak berdaftar dan kini dalam proses untuk permohonan lesen operasi. – Bernama

    Datuk Seri Nancy Shukri beramah mesra bersama kanak-kanak pada Majlis Pelancaran Plak Pendaftaran Taska di Taska Seri Kandi Jabatan Audit Negara, Kompleks F, Putrajaya di sini, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda