DUNGUN – Anyaman daun sal mungkin kurang dikenali berbanding industri kraf lain seperti ukiran kayu, tembaga atau batik yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, ia tetap memiliki keistimewaan dan identiti tersendiri kerana memerlukan kemahiran tangan yang tinggi untuk menghasilkan sesuatu produk.
Industri anyaman daun sal di Malaysia yang dipercayai berusia lebih 100 tahun bersifat ekslusif kerana hanya terdapat di Kampung Paka, Dungun.
Menurut seorang pengusaha kraf daun sal, Zalila Hussin, 64, dari Kampung Cacar, beliau mewarisi kemahiran tersebut daripada ibunya.
Beliau berkata antara produk yang dihasilkan termasuk bekas telur, alas pinggan, kotak hadiah, hiasan dinding dan tudung saji pelbagai saiz yang dihias dengan pelbagai motif dan warna.
“Anyaman daun sal adalah aktiviti kemahiran tangan utama golongan wanita di Kampung Paka suatu masa dahulu. Pada usia 14 tahun, saya sudah mahir membuat tudung saji kerana setiap hari belajar daripada ibu yang mewarisi kemahiran sama daripada arwah nenek,” katanya ketika ditemui pada Program Media Turun Padang Meninjau Perkembangan Industri Kraf di Negeri Terengganu di Balai Raya Kampung Gong Gemia, Paka.
Mengulas lanjut, Zalila berkata, bagaimanapun industri tersebut seakan menghampiri penghujung apabila tidak ramai golongan muda yang berminat mempelajari kemahiran tersebut.
Menurut beliau, keadaan tersebut disebabkan faktor masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi kerana proses penghasilan kraftangan daripada daun sal yang rumit serta panjang.
“Berbeza dengan kraf lain, keseluruhan proses menghasilkan produk anyaman daun sal bermula daripada mengumpul daun daripada pokok sal hingga ke kerja menganyam dibuat secara manual tanpa ada bantuan mesin.
“Prosesnya juga panjang. Untuk menghasilkan tudung saji contohnya, mengambil masa antara dua hingga ke tiga minggu,” katanya yang juga tenaga pengajar untuk kursus anyaman daun sal anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) cawangan Terengganu,” katanya.
Zalila berkata produk kraf berasaskan daun sal terutama tudung saji mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan bukan sahaja dari dalam negara malah dari luar negeri.
Bagaimanapun, ketiadaan pelapis menyebabkan tidak banyak produk dapat dihasilkan pada satu-satu masa.
Beliau berkata pada masa ini hanya terdapat tiga pengusaha produk kraf daun sal di Kampung Paka dan kesemuanya sudah berusia.
“Pada 2010, saya pernah menyertai satu ekspo di Singapura yang dibawa oleh agensi kerajaan. Ada seorang usahawan Afrika yang berminat untuk membeli satu kontena tudung saji untuk dipasarkan di negaranya. Mereka terpikat dengan keunikan dan kehalusan seni pembuatannya.
“Malangnya, saya tak dapat terima tawaran itu kerana tidak ada tenaga kerja yang cukup untuk memenuhi tempahan dalam masa singkat,” katanya yang berharap supaya ada pelapis pada masa depan. – Bernama