Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kraf bunga baldu kuno kembali ‘Mekar’

    BEIJING – Satu teka-teki ditampilkan dengan landskap gunung kecil yang dihiasi dengan bunga baldu, burung dan arnab dalam episod terkini Persidangan Puisi China di saluran CCTV baru-baru ini, satu rancangan yang mengumpulkan para penggemar puisi kuno.

    Suasana itu menghidupkan semula Dinasti Tang (618-907) yang dipersembahkan dalam puisi Wang Wei, menggambarkan malam yang santai dan selesa di lembah yang tenang dengan bunga yang berguguran perlahan-lahan.

    Bunga baldu yang halus itu dibuat oleh Cai Zhiwei, 52, pewaris generasi keenam pembuatan burung dan bunga baldu, warisan budaya tak ketara Beijing.

    Setelah mengabdikan dirinya pada kemahiran tersebut selama dua dekad, Cai mewarisi, menginovasi dan mempromosikan bunga baldu dengan caranya sendiri.

    “Secara ringkasnya, bunga baldu adalah kraf tangan yang menggunakan sutera mulberi untuk membuat butiran permukaan dengan wayar sebagai bingkai,” Cai menjelaskan.

    Cai semasa membuat bunga baldu buatan tangan, warisan budaya tak ketara berusia 300 tahun di Beijing. –ANN/China Daily.

    “Kemahiran ini dapat digunakan untuk membuat banyak benda selain figura termasuk burung, bunga, serangga dan landskap.”

    Kemahiran membuat bunga baldu berasal dari bandar Yangzhou di wilayah Jiangsu dan tersebar ke Beijing semasa Dinasti Ming (1368-1644).

    Cai mengatakan satu teori tentang asal usul seni ini adalah bahawa orang zaman dahulu sangat mencintai kecantikan dan mereka akan memakai bunga sebenar pada rambut mereka pada musim panas dan sejuk, dihiasi dengan reben berwarna-warni.

    “Beberapa pelayan istana yang bijak menemukan cara membuat bunga tangan untuk tuan mereka,” kata Cai, menambah bahawa bentuk awal bunga baldu dapat ditemui dalam mural Dinasti Tang.

    Cai membesar di bekas dae-rah Chongwen yang bergabung dengan Dongcheng pada 2010.

    “Daerah Chongwen terkenal dengan kemahiran kraf tangan.

    Ia menempatkan banyak bengkel kraf tangan dan setiap keluarga membuat kraf tangan,” kenang Cai.

    Di Chongwen, terdapat sebuah kawasan yang dinamakan Huashi (pasar bunga) dan empat jalan di empat penjuru dinamakan mengikut kawasan tersebut.

    Menurut Cai, semasa Dinasti Qing (1644-1911), kawasan itu merupakan pasar dan kawasan pengeluaran bagi pelbagai jenis bunga buatan, termasuklah bunga baldu, sutera dan kertas.

    Menurut Cai, pada masa itu, para tukang kraf membuat bunga-bunga buatan tangan mengasaskan sebuah persatuan dan mempunyai adat bahawa pada hari ke-20 bulan ketiga kalendar Cina, semua mereka akan mandi, bertukar pakaian dan menawarkan bunga yang mereka hasilkan kepada dewa-dewa untuk memastikan kehidupan dan perniagaan mereka berkembang pada tahun berikutnya.

    Cai menjelaskan pada tahun 1960, di kawasan Huashi di Beijing, kilang burung baldu ditubuhkan bagi menyediakan kraf tangan untuk pelanggan meraikan Easter dan Krismas.

    Lama-kelamaan, burung baldu menjadi sinonim dengan produk baldu dibuat di Beijing.

    Dalam 2002, Cai mula belajar kemahiran membuat bunga baldu daripada Gao Zhenxing, pakar kesenian itu.

    Cai pada asalnya berkecimpung dalam perniagaan bahan binaan dan perubahan kerjaya mendadak-nya tidak difahami atau disokong oleh keluarganya.

    Cai mengimbas semasa dia masih kecil, di sekolah ada pelajaran kraf tangan, di mana dia belajar membuat layang-layang atau patung tanah liat.

    “Saya mempunyai minat dalam kraf tangan sejak kecil, dan pada usia 30an saya memutuskan untuk berpindah kerjaya menghasilkan bunga baldu,” katanya.

    Setiap hari kerja, dia duduk di sebelah Gao untuk belajar. Dia menghantar Gao ke rumahnya setiap Isnin pagi dan menghantarnya balik pada Jumaat malam.”

    Proses membuat bunga baldu agak sama dan membosankan, namun Cai telah menemui keghairahannya dalam kemahiran ini.

    “Perasaan pencapaian apabila menyelesaikan satu karya sangat memberangsangkan,” katanya.

    “Menguasai satu kemahiran memerlukan kesabaran dan masa.

    Guru saya Gao memberitahu saya jika dia mengajar saya satu perkara seminggu, masih ada sesuatu yang baharu untuk diajarkan selama lebih dari dua dekad,” kata Cai.

    Satu langkah utama dalam membuat bunga baldu adalah menggunakan wayar tembaga untuk membentuk rangka.

    Cai perlu memecahkan dan menggosok-gosokkan wayar tembaga di atas hujung jari-jarinya, dan setiap kali wayar itu digosok ke tangannya, ia meninggalkan kesan.

    “Setelah cap jari awda terhapus, maka awda bersedia untuk membiarkan wayar tembaga mengikuti arahan awda,” kata Cai.

    Belulang pada ibu jari dan jari telunjuk di kedua-dua tangannya adalah bukti usaha gigihnya selama beberapa dekad.

    Cai percaya bahawa, seiring berjalannya waktu, kemahirannya akan menjadi lebih halus dan matang, dan karyanya akan menjadi lebih hidup.

    Pada tahun 2018, ketika drama TV “Story of Yanxi Palace” meraih popularitinya, bunga baldu pada kostum pelakon menarik perhatian orang ramai.

    Cai mengatakan pasukannya telah membuat barang-barang baldu untuk filem dan siri TV, dan ini adalah salah satu cara bagi penonton untuk belajar tentang budaya tradisional ini.

    Cai menubuhkan studio bunga baldu ibu kota daerah Huairou dan mula mengambil pekerja tempatan sebagai pekerja dan murid pada tahun 2020.

    Mereka secara beransur-ansur menerima pesanan daripada syarikat untuk menyediakan produk baldu yang disesuaikan untuk acara-acara istimewa.

    Memandangkan tahun ini merupakan Tahun Arnab, Cai baru-baru ini membuat sekelompok arnab baldu.

    Studio Cai juga membuat bunga baldu merah dan biru yang menghiasi topi pemberi hadiah pingat semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

    Menurut Cai, reka bentuk ini diilhamkan oleh corak bunga komposit dari lukisan dinding zaman Dinasti Tang yang mempunyai makna baik.

    Beliau berpendapat Sukan Olimpik adalah peluang yang baik untuk membawa pembuatan bunga baldu ke peringkat dunia.

    “Ia adalah satu kehormatan sebagai pewaris seni warisan ini yang mempunyai sejarah lebih 300 tahun untuk mempersembahkan kemahiran ini kepada dunia,” katanya.

    Kemahiran membuat bunga baldu bergaya Beijing disenaraikan sebagai warisan budaya tidak ketara Beijing pada tahun 2009.

    Sebagai pewaris generasi keenam, Cai sentiasa memikirkan bagaimana untuk meneruskan dan membangun-kan kemahiran yang berusia lebih 300 tahun itu.

    Beliau percaya selain mencipta alat baharu untuk meningkatkan kecekapan, beliau perlu menghasilkan produk baharu dengan reka bentuk dan pewarnaan yang inovatif yang sesuai dengan estetika moden.

    “Berbeza dengan beberapa mesin yang membantu pengukir batu jed memotongnya, tiada alat yang boleh membantu membuat bunga baldu dengan lebih mudah,” kata Cai.

    Beliau merancang untuk menggabungkan produk baldu dengan hiasan moden atau perkakas kecil, agar produk baharunya dapat menarik perhatian dan berguna.

    Cai juga memanfaatkan kuasa media sosial untuk membantu populariti pembuatan bunga baldu Beijing.

    Daripada sejarah kemahiran hingga langkah-langkah terperinci dalam membuat bunga baldu, Cai memuat naik di platform video pendek seperti Bilibili dan Douyin, serta platform gaya hidup Xiaohongshu, dan setakat ini telah menerima lebih 320,000 suka secara keseluruhan. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda