KYOTO – Artis kraf jerami, Momoko Fujii mengambil sejalur jerami di tangannya dan memeriksanya dengan teliti, mengamati setiap perubahan warna. Dia kemudian memukul beberapa jalur terpilih dengan tukul kayu untuk melembutkan gentian dan menjadikan jerami mudah dilenturkan.
Dia merasakan tekstur jalur itu dengan berhati-hati, seolah-olah dia sedang bercakap dengan jerami.
“Ini adalah langkah yang benar-benar mempengaruhi produk siap, jadi saya menghabiskan paling banyak masa padanya,” kata Fujii.
Dia mengambil jerami itu dan dengan cekap memintalnya dengan pergerakan gulungan di antara tapak tangannya. Seterusnya jerami berkenaan berada dalam keadaan berpintal yang sempurna.
Kawalan tangan yang sempurna yang perlu dimiliki Fujii untuk memberikan tekanan terbaik adalah asas untuk mencipta produknya yang amat terkenal itu.
Ciptaan Fujii terdiri daripada karya moden, dipanggil Wara Jewelry, yang hanya bersaiz beberapa sentimeter, hingga ke tali jerami suci shimenawa sepanjang 5 meter. Malah ketegangan yang kendur semasa menciptanya akan mengakibatkan tali tercabut.
Dalam mengejar kesempurnaan estetik, Fujii mencurahkan ‘segala jiwa dan raganya dalam setiap pintalan.’
PERJALANAN MENJADI ARTIS
Fujii dilahirkan dan dibesarkan di daerah Hanase di Wad Sakyo Kyoto, iaitu kira-kira sejam perjalanan dengan kereta ke utara dari pusat Kyoto. Dalam komuniti yang dikelilingi oleh pergunungan, jerami telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian melalui penggunaan sandal, tungku dan bakul untuk memetik lada sansho Jepun.
Dengan hidup dalam persekitaran sedemikian, Fujii membangunkan rasa artistik dan menumpukan pada aktiviti melukis sejak usia muda. Selepas menamatkan pengajian dari Sekolah Menengah Seni Tinggi Kyoto City, dia mendaftar di Universiti Seni Kyoto City dan memulakan kerjaya sebagai seorang artis.
Semasa di universiti, dia belajar mencetak blok kayu sementara mencari cara baharu untuk mengekspresikan dirinya, tetapi dia tidak merasakan bahawa aktiviti itu adalah untuknya.
Sebaliknya, dia meminati kraf jerami, yang telah diturunkan secara turun-temurun di kampung halamannya.
“Saya fikir ia akan menjadi menarik untuk menggunakan jerami untuk membuat aksesori,” katanya. “Saya pasti ia akan mewujudkan pandangan dunia yang baharu.”
Pada 2013, Fujii telah menubuhkan sebuah studio bernama Hanase WARA di sebelah rumah ibu bapanya, dengan harapan dapat mengubah teknik tenunan yang dipelajari daripada orang tuanya menjadi bentuk seni. Dia berpendapat bahawa mencipta dan menyampaikan karya daripada Hanase akan mempromosikan kampung halamannya juga.
Fujii menggunakan jerami yang ditanamnya di sawah padi di Hanase.
“Ia memberikan kesan besar pada badan saya, tetapi ia adalah sebahagian daripada proses kreatif,” katanya. “Awda tidak boleh membuat karya yang indah tanpa berorientasikan perincian.”
Fujii menggunakan jerami daripada beras varieti Asahi Mochi, yang tumbuh lebih daripada 120 sentimeter tinggi dan sesuai untuk karyanya. Dia mula menanam anak benih pada bulan Mac, dan menuainya antara Ogos dan Oktober. Apabila ia dijemur dengan sempurna, jerami kehilangan sebahagian besar perubahan warnanya menjelang November.
Jerami kehijauan menjadi lebih pudar dari semasa ke semasa dan bertukar menjadi keemasan pada musim luruh.
MENGHIDUPKAN TRADISI
Apabila membuat anting-anting dan kerongsang, Fujii meminimumkan penggunaan bahan yang berbeza, seperti tali hiasan mizuhiki, benang sutera dan mutiara. Beliau berkata ia mendorong kepada hasil ciptaan susunan inovatif yang menggabungkan kraf tradisional dengan sentuhan moden.
Karya Fujii telah mendapat perhatian di dalam dan luar negara. Dia kini bekerjasama dengan pereka luar negara dan beberapa kedai popular.
“Naluri seni kraf saya menumpu pada pintalan, tetapi sebagai seorang artis, saya mahu menunjukkan kepada orang ramai nilai baharu jerami,” katanya.
Dia berasa bangga dapat membantu memelihara tradisi Kyoto dengan membekalkan shimenawa untuk Pesta Gion dan sandal jerami yang dipakai oleh lelaki dalam upacara di kuil Kuramadera. Setelah mendapat pengiktirafan sebagai artis, Fujii mengadakan pameran solo di Osaka dan tempat lain. Dia juga mengadakan bengkel di Kyoto untuk mengembangkan kraf di tengah-tengah jumlah tukang jerami yang semakin berkurangan.
Rantau di seluruh negara mencipta kraf jerami, dan setiap kawasan mempunyai ciri-ciri uniknya sendiri.
“Ia adalah khazanah yang dipenuhi dengan kepekaan dan kebijaksanaan moyang kita,” kata Fujii. “Saya mahu mempelajari teknik baharu dan menggabungkannya dalam kerja saya.”
Fujii percaya pada potensi jerami yang tidak terhingga dan berharap untuk terus mencipta karya jerami pada masa hadapan. – ANN/The Japan News