NAIROBI – Elius Magu dari Kenya telah memupuk semangat seninya sejak dari zaman kanak-kanaknya lagi. Sebuah bilik tidur rumahnya yang terletak di pinggir bandar Nairobi adalah bukti kesungguhannya itu.
Di tengah-tengah bilik duduknya yang kemas dan teratur, terdapat satu meja kecil di mana dia menyimpan karya-karya seninya itu, dengan memaparkan sedikit sentuhan kesenian masyarakat Cina, yang telah menarik perhatian para pengunjung.
Magu, bekas peminum alkohol tegar, kini mengabadikan jiwanya kepada seni dalam usaha untuk menghilangkan kenangan pahitnya itu daripada terjerumus sekali lagi.
Masalah alkohol ini sering dihadapi oleh belia-belia di kawasan pedalaman dan bandar-bandar di Kenya.
Dengan tiada isteri atau anak untuk dijaga, Magu yang berusia 45 tahun pada bulan depan, kini melaburkan tenaganya ke dalam bidang kesenian untuk menutup bab yang menyedihkan dalam hidupnya.


Dua bulan ke arah perjalanan pemulihannya itu, Magu yang juga peminat taekwondo berkata cintanya terhadap seni, terutama seni masyarakat Cina, bermula pada hari-hari persekolahan rendahnya ketika dia menonton filem pertamanya yang dibintangi oleh seorang pelakon filem aksi Cina yang terkenal iaitu Jet Li.
Walaupun Magu tidak mengharapkan untuk menghasilkan wang dari bidang kesenian ini, namun terapi di dalamnya telah memberi satu kepuasan buatnya.
Masih mempelajari asas-asas penciptaan karya seni yang hebat, memberi tumpuan kepada kertas quilling sebagai bahan yang diperlukan untuk seni ini. Bahannya tidak sukar untuk didapati dan ianya pada kadar berpatutan.
“Saya menonton video YouTube untuk mempelajari sebahagian daripada asas-asas kertas quilling. Saya berharap saya akan membuat satu daripada kepingan kesenian saya. Saya mempunyai diploma dalam Reka Bentuk Grafik dari Universiti Teknikal Kenya dan saya berharap dapat memupuk minat kesenian saya ini dari sekarang,” katanya kepada Xinhua.
Menurut Fatema Qureishi, pengasas Amathus Arts, sebuah studio seni yang kebanyakannya menghasilkan kraf kertas di wilayah Karen, Nairobi, walaupun tidak dikenali, seni kertas quilling ini boleh menjadi satu terapi untuk menghilangkan stres. Ianya juga adalah satu teknik yang hebat dalam membantu orang-orang seperti Magu – berusaha bertarung dalam hidup mereka.
“Sebagai seorang artis profesional, saya akan menggalakkan orang ramai untuk mempelajari seni kertas quilling – penggulungan kertas – kerana ia dapat mengalihkan tenaga tidak baik dan mengeluarkan atau menghilangkan rasa kebimbangan dan tekanan di dalam diri. Dengan melakukan seni ini juga, koordinasi pergerakan tangan dapat menguatkan kemahiran diri kita. Apabila sering mengamalkannya secara tetap, seseorang itu akan cenderung dan membentuk ekspresi kreatifnya yang dapat mengubah kehidupannya,” tambahnya.
Bagi Zawadi Robi, seni kertas quilling ini telah menyelamatkannya dari bahang kemurungan. Setelah kehilangan anak lelakinya dan satu-satunya kanak-kanak yang berada dalam kemalangan jalan raya tiga tahun yang lalu, dia mula mengalami kemurungan dan kehilangan harapan dalam kehidupannya.


“Semasa salah satu sesi kaunseling saya, ahli terapi saya menggesa saya untuk mengambil satu aktiviti yang akan membuat minda saya sentiasa sibuk dan kreatif dan oleh kerana saya mempunyai latar belakang dalam bidang kraf kertas, saya memulakan seni kertas quilling ini. Sejak satu tahun yang lalu saya mula melakukannya, keadaan saya telah bertambah baik, saya tidak lagi merasa putus asa,” katanya.
Pada awal 40-an, Zawadi berkata seni kertas quilling ini telah membantunya dari serangan kebimbangan yang kebanyakan menyerangnya pada waktu malam.
“Kadang-kadang saya terlalu emosi, tetapi seni kraf tangan ini telah membawa keseimbangan dalam hidup saya,” katanya.
Setelah berada dalam industri kertas quilling ini selama lebih dari 10 tahun sekarang, Fatema berkata seni ini telah menjadi popular di disini. Menurut laporan daripada Biro Statistik Kebangsaan Kenya (KBNS), Kenya hanya menyaksikan pertumbuhan empat peratus dalam sektor kreatif pada tahun 2016.
“Terdapat potensi artistik yang banyak di Kenya yang hanya menunggu untuk diasah sahaja. Seni kertas quilling sebagai contoh, ia adalah satu bentuk seni yang popular di kebanyakan tempat di dunia, namun ia masih kurang dikenali di Kenya,” kata Fatema.
Seni kertas quilling atau kertas ‘filigri’ adalah satu seni gulungan kertas nipis berjalur yang dibentuk bulat dan kemudian digam bersama untuk menghasilkan corak hiasan, karya seni hiasan dan kepingan serbaguna.
Kraf seni ini berasal dari Eropah di kalangan masyarakat keagamaan semasa zaman Renaisans di mana ia digunakan untuk menghias buku dan barang-barang suci mereka. Ia kemudian menjadi hobi popular di kalangan wanita ‘kelas atasan’ sebelum digunakan sebagai teknik hiasan pada perabot dan aksesori bernilai tinggi. – Xinhua