Kraftangan Malaysia temui inovasi berasaskan tanah liat

KUALA LUMPUR – Kraftangan Malaysia menemui satu inovasi baharu bahan penghalang warna berasaskan tanah liat dalam proses penghasilan batik, awal tahun ini.

Pengarah Kraftangan Cawangan Perak Mohamad Rizan Mohamad Nordin berkata teknik mesra alam itu mampu memberi penjimatan kos bahan sebanyak 50 peratus dan memendekkan proses penghasilan batik.

“Ini adalah inovasi yang cuba diketengahkan Kraftangan Malaysia, batik menggunakan teknik campuran tanah liat lebih murah berbanding kos batik asal menggunakan lilin. Kos bahan campuran untuk 25 kilogram tanah liat dan tepung adalah sekitar RM30.

“Sekilo bancuhan tanah liat boleh digunakan untuk penghasilan batik dengan ukuran kain lebih kurang enam hingga lapan meter. Pengusaha batik juga hanya menggunakan mesin basuh untuk menanggalkan tanah liat,” katanya ketika ditemui media.

Mohamad Rizan berharap melalui teknik inovasi itu, usahawan kraf bidang tekstil khususnya terdedah dengan idea baharu di samping dapat menjana keuntungan berlipat ganda pada masa hadapan.

Antara bahan-bahan asas untuk menghasilkan produk batik menggunakan tanah liat sebagai bahan mengantikan lilin dipamerkan sempena Hari Kraf Kebangsaan 2020 (HKK 2020) kali ke-18 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. – Bernama
Antara produk seramik yang dihasilkan menggunakan teknik gerlis kristal dan suhu pembakaran yang tinggi dipamerkan sempena Hari Kraf Kebangsaan 2020 (HKK 2020) kali ke-18 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. – Bernama

“Kami mahu teknik ini menjadi satu penanda aras yang baharu dalam bidang tekstil Kraftangan Malaysia. Tahun 2020 kita temui satu bahan yang boleh kita ketengahkan kepada usahawan,” katanya.

Teknik penghasilan batik baharu itu menggunakan empat bahan utama iaitu tanah liat bebola, tepung gandum, batu kapur dan carboxymethyl cellulose (CMC).

Bahan itu boleh menghasilkan corak atas permukaan kain melalui terapan blok dan berus dan jenis kain boleh digunakan adalah Cotton Satin, Cotton Bajigar, Matka, Modal Satin, Maslin dan Cotton Poplin.

Selain itu, kesenian produk kraf negeri Perak turut ditampilkan dengan keunikan Seramik Gerlis Kristal (Crystalline Glaze Ceramic) iaitu teknik kemasan pada hiasan permukaan seramik terhasil melalui dua faktor iaitu resipi bahan licau dan kadar pembakaran suhu takat lebur.

“Crystalline mempunyai suhu lebur tinggi dan tempoh pembakaran adalah 12 jam. Kemudian suhu akan dikurangkan secara mendadak untuk dapatkan benih atau permukaan kristal yang berbentuk bulat, memanjang dan jarum. Lagi lama pembakaran, lebih menarik kesan kristal,” kata Mohamad Rizan.

Produk eksklusif Seramik Gerlis Kristal yang dihasilkan secara manual boleh didapati di HKK 2020 dengan harga serendah RM480 untuk ukuran kira-kira 15 sentimeter.

Sementara itu, Pereka Seramik Kraftangan cawangan Perak Rahmi Bujang yang menceburi bidang kraf seramik sejak 2007 berkata anak muda digalakkan menceburi bidang tersebut kerana ia boleh menjana pendapatan lumayan.

“Artis seramik yang mempunyai pengalaman dua hingga tiga tahun akan lebih ke depan apabila sudah mempunyai identiti sendiri. Sahabat saya yang menghasilkan produk seramik eksklusif studio boleh menjana pendapatan sehingga RM15,000 sebulan,” katanya.

Hari Kraf Kebangsaan 2020 (HKK 2020) bermula 26 Februari lalu hingga 9 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur akan tertumpu kepada usaha memperkasakan sosioekonomi rakyat.

Pada masa yang sama, Festival Hari Kraf Kebangsaan 2020 akan berlangsung lebih sebulan bermula 28 Februari lalu sehingga 31 Mac di lapan negeri. Untuk kedua-dua acara itu, pihak Kraftangan Malaysia menyasarkan jualan RM18 juta.

Sebanyak 12 pameran akan berlangsung sepanjang HKK 2020 termasuk Malaysian Craft Digital Hub, Pameran Karya Ulung Kraf Ukiran Kayu, Pameran Produk Inspirasi Tokoh, Pameran Evolusi Kraf Ukiran Kayu dan Pameran 40 tahun Kraftangan Malaysia. – Bernama