Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Kraftangan tufting bantu atasi tekanan Tekanan

    BEIJING – Menggunakan pistol kraf untuk menembak benang melalui skrin fabrik, Nora Peng memberikan sentuhan akhir pada permaidani dalam bentuk punggung corgi, hobi terbaik menghi-langkan tekanan untuk hari-harinya yang sibuk.

    Dia adalah salah seorang daripada jumlah penggemar seni yang semakin meningkat yang menjadikan kraftangan ‘tufting’ sebagai hobi ketika generasi muda mencari pilihan untuk menghilangkan tekanan hidupan harian.

    Kraftangan itu mencipta bentuk dan corak yang versatil dengan menggunakan pistol khas untuk memotong dan mencucukkan benang menerusi fabrik yang disematkan pada bingkai kayu.

    “Saya rasa seni ‘tufting’ amat melegakan tekanan,” kata pelajar kolej Peng.

    “Saya perlu menelaah buku teks setiap hari untuk sekolah dan ia meletihkan.”

    Seorang kakitangan mengajar peserta cara mengendalikan pistol kraf di bengkel ‘tufting’ di Beijing. – AFP
    Para peserta menggunakan pistol kraf untuk membuat tikar. – AFP

    Setiap hujung minggu, bengkel ‘tufting’ iHome di Beijing menarik kumpulan pencinta kraftangan muda yang menghabiskan hari dengan teliti menganyam benang.

    Pada hari Sabtu baru-baru ini, kira-kira dua puluh orang muda, kebanyakannya wanita, memenuhi studio yang terang-benderang, masing-masing memegang senapang ‘tufting’ di tangan mereka.

    “Ia memerlukan banyak kesabaran, tetapi selagi awda dapat menguasainya, menjahit tidak sukar,” beritahu Yan Xinyue, seorang pekerja syarikat kerajaan kepada AFP.

    Celoteh dan gelak tawa memenuhi ruangan studio ketika mereka berhenti untuk membandingkan dan mengagumi rekaan masing-masing, kebanyakannya permaidani watak kartun atau beg tangan bertampal berwarna-warni dan cermin.

    Peng memutuskan untuk mencuba selepas melihat kraf itu menjadi trending di media sosial.

    “Semua orang berjaya, jadi saya fikir saya akan datang dan mencubanya juga.”

    Permaidani punggung corgi adalah tempat tidur untuk kucing peliharaannya, katanya.

    “Saya rasa ia comel dan kelakar,” katanya sambil ketawa. “(Reka bentuk) punggung kecil corgi sangat popular hari ini.”

    Kepopularan ‘tufting’ telah didorong pengaruh dalam talian.

    “Ia memberikan saya kepuasan,” kata Shi Ba, seorang influencer yang membuat ulasan untuk pengikut dalam taliannya.

    Menghilangkan tekanan

    Dibebani kebimbangan terhadap tekanan hidup yang tinggi, termasuk ketidaksamaan dan peningkatan kos sara hidup dan harga hartanah, golongan dewasa muda China mencari cara baharu untuk berehat.

    Golongan muda yang tertekan di bawah usia tiga puluh tahun adalah penggemar tufting, menurut Xu Shen, pengasas bengkel tufting iHome.

    Mereka mahu “melupakan kerja mereka yang membosankan dan hanya memberi tumpuan untuk membuat kerja kraf”, katanya kepada AFP.

    ‘Tufting’ hanya menjadi popular di China sejak tiga hingga lima bulan lalu, tambahnya, tetapi permintaan yang meningkat untuk kraf itu menyaksikan dia sudah membuka sembilan kedai di seluruh ibu negara.

    Masing-masing menerima ratusan pelanggan setiap minggu, ramai yang tertarik melalui media sosial. Kini terdapat lebih daripada 140 bengkel ‘tufting’ di Beijing sahaja, menurut laman tempahan Dianping.

    Tetapi cabaran yang dihadapi adalah mendapatkan pelanggan tetap, Mao Wei, pemilik bengkel tufting Horus Club memberitahu AFP.

    Ramai hanya pengunjung sekali sahaja yang ‘datang hanya kerana rasa ingin tahu’, katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...