Monday, September 30, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Krathon dinaik taraf kepada taufan, amaran laut dikeluarkan

    TAIPEI, 29 SEPT – Ribut Tropika Krathon telah dinaik taraf menjadi taufan oleh Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA) hari ini.

    Langkah itu dibuat beberapa jam selepas amaran laut dikeluarkan lebih awal pada hari yang sama apabila Krathon menghampiri Taiwan dan dijangka membawa hujan serta angin kencang, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

    Menurut ramalan CWA, taufan itu mungkin membawa hujan atau ribut petir ke kawasan utara Taoyuan manakala kawasan pergunungan dan selatan Taiwan mungkin mengalami hujan sekejap pada sebelah petang.

    CWA berkata hujan di Taitung dan Hengchun dijangka semakin lebat menjelang malam.

    Setakat 11 pagi hari ini, Krathon berada kira-kira 460 kilometer tenggara Eluanbi di daerah Pingtung, titik paling selatan Taiwan.

    Gambar Freepik

    Menurut CWA, ia bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 9 kilometer sejam (kmh).

    Ribut tropika itu membawa angin berkelajuan maksimum 118.8 kmh, dengan tiupan sehingga 154.8 kmh, menurut data CWA.

    Sehubungan itu, CWA mengeluarkan nasihat hujan lebat untuk Pantai Utara Keelung, kawasan pergunungan di Taipei, Semenanjung Hengchun, daerah Yilan, daerah Hualien, daerah Taitung, pulau Lanyu dan Ludao yang akan berkuat kuasa sehingga malam ini.

    Peramal CWA, Wu Wan-hua hari ini berkata kekuatan Krathon masih meningkat dan taufan itu dijangka berada paling hampir dengan Taiwan pada Selasa dan Rabu.

    Wu yang merujuk model ramalan CWA berkata amaran darat mungkin dikeluarkan lewat malam ini atau awal pagi esok.

    Kawasan Greater Taipei, bahagian timur Taiwan dan Semenanjung Hengchun mungkin mengalami hujan lebat esok.

    Menurut beliau, seluruh Taiwan dijangka mengalami hujan pada Selasa dan Rabu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda