Tuesday, October 1, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Krathon landa pulau kecil Filipina

    MANILA, 30 SEPT – Taufan Krathon melanda sekumpulan pulau kecil Filipina yang terpencil berhampiran Taiwan hari ini, memutuskan bekalan elektrik dan perkhidmatan komunikasi, kata perkhidmatan cuaca negara dan pegawai.

    Taufan itu melintas berhampiran pulau Sabtang dalam kumpulan Batanes lewat pagi dengan kelajuan angin maksimum 170 kilometer sejam dan tiupan angin sehingga 215 kilometer sejam.

    Perkhidmatan cuaca negara berkata dalam buletin terbaharunya bahawa ‘impak yang signifikan hingga teruk daripada angin kuat taufan mungkin berlaku’ di Batanes, wilayah yang mempunyai kira-kira 20,000 orang penduduk.

    Gabenor wilayah Batanes, Marilou Cayco, yang dihubungi melalui telefon satelit oleh stesen radio DZBB di Manila, berkata taufan mula melanda pulau-pulau itu malam tadi dan 27 keluarga telah dipindahkan.

    “Angin sangat kencang, ia seperti gempa bumi,” katanya.

    Cayco berkata ‘banyak’ rumah rosak, dengan kepingan bumbung berterbangan di udara.

    “Orang ramai meminta bantuan tetapi kami tidak boleh keluar kerana ia terlalu berbahaya,” katanya.

    Tiada laporan mengenai kematian sebelum bekalan elektrik dan sambungan telefon terputus akibat angin kencang, kata seorang pegawai kanan polis Batanes, yang berada di pulau utama Luzon dan meminta untuk tidak dikenali. – AFP

    Penyelamat membantu penduduk ketika mereka meredah banjir yang dibawa Taufan Krathon di Bacarra, wilayah Ilocos Norte, utara Filipina, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda