Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kreativiti adaptasi buku ke dalam bentuk lukisan

    INDONESIA – Bagi individu yang pernah membaca buku Raden Mandasia: Si Pencuri Daging Sapi karya Yusi A. Pareanom setentunya berasa gembira untuk menyaksikan pameran lukisan yang diinspirasikan dari kisah dalam buku itu yang dikenali sebagai Lakon Sungu Lembu.

    Pameran yang dianjurkan selama 21 hari itu diadakan di Ruang Seduh, Kemang dan bakal berakhir pada 28 Februari ini.

    Kurator Pameran, Nin “Nindy” Djani menjelaskan kepada The Jakarta Post bahawa pameran yang dianjurkan ini lebih menumpukan kepada suasana latar yang dibayangkan dalam buku ini berbanding kepada karakter-karakternya seperti Raden Mandasia, Sungu Lembu atau Loki Tua.

    “Bagi mereka yang pernah membaca buku itu setentunya akan dapat membayangkan lagi suasana dalam buku tersebut dan setentunya individu yang tidak pernah membacanya juga mungkin akan menarik minat mereka,” jelas Hwang T, pelukis muda yang turut menjayakan pameran ini.

    “Kami ingin cuba merealisasikan apa yang dibayangkan di dalam kisah buku tersebut dalam pameran Lakon Sungu Lembu dan pembaca tegarnya pasti akan menyedari babak yang diinterpretasikan,” jelas Nindy.

    Beberapa babak dalam buku Raden Mandasia: Si Pencuri Daging Sapi karya Yusi A. Pareanom telah diadaptasi dalam bentuk lukisan secara kreatif oleh Hwang T.

    Hakikatnya Nindy dan Hwang memang merupakan penggemar buku tersebut malah Hwang juga menjelaskan Raden Mandasia merupakan buku pertama terbitan dari Indonesia yang berjaya dibacanya sehingga ke halaman akhir.

    “Kisah yang diceritakan memang cukup menyeronokkan sehingga saya berjaya untuk memvisualisasikannya ke dalam bentuk lukisan,” jelas Hwang yang sangat memuji kisah pengembaraan yang ditonjolkan dalam buku tersebut.

    Dari sudut cabaran pula, Nindy menjelaskan bahawa dia harus menumpukan pada sesuatu babak yang divisualisasikan itu dengan teliti agar lukisan yang dihasilkannya itu tidak terlalu mendedahkan kisah sebenar yang ditampilkan di dalam buku.

    “Pameran ini umpama platform bagi saya memaparkan hasil karya dan pada masa sama turut menerima persepsi dari pengunjung.

    Dari situ, wujud rasa bimbang dalam diri seandainya para penghayat seni tidak dapat menerima lukisan yang saya tampilkan dari sudut positif,” jelas Hwang.

    “Sejujurnya saya memang berasa bimbang kerana ini merupakan kali pertama bagi saya untuk menampilkan karya lukisan dalam bentuk gouache dan di pamerkan di ruang yang cukup luas,” tambah beliau.

    Penulis buku itu, Yusi yang turut menghadiri acara pembukaan pameran itu menjelaskan bahawa Hwang memang ada merujuk kepada dirinya sebelum menganjurkan pameran itu.

    “Selaku seorang penulis, setentunya saya berasa seronok untuk melihat karya yang saya hasilkan diinterpretasi dalam medium yang lain,” jelas Yusi diiringi dengan ketawa.

    “Saya berharap dia akan terus berminat untuk membaca buku-buku terbitan Indonesia dan menzahirkannya ke dalam bentuk pameran seperti ini,” tambahnya.

    Diterbitkan pada April 2016, Raden Mandasia mengisahkan mengenai perjalanan Sungu Lembu dan Raden Mandasia ke Kerajaan Gerbabng Agung.

    Buku itu juga telah dipilih sebagai Pemenang Kategori Prosa di Anugerah Kusala Sastera Khatulistiwa ke-16 pada November 2016. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda