Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kreativiti kulinari gastronomi tanah air

    Oleh Lenna N.B.

     

    MATANYA tertumpu kepada helaian daging yang dipanggang. Di bawah kuali, kelihatan api yang cukup sederhana panasnya. Sekali-sekala dia memusing helaian daging tersebut agar ia dimasak rata. Bunyi minyak daging yang jatuh ke atas kuali kedengaran berirama. Bau yang menggiurkan mula keciuman. Berulang-kali penulis menelan liur. Sebalik baju cef yang dipakainya, Cef Luqman ternyata mempunyai cerita yang terpendam.

    “Saya bermula dari memotong bawang, dan mencuci pinggan mangkuk. Setiap cef yang berjaya tidak terus berada di atas. Sebutlah siapa sahaja cef yang terkenal di dunia, mereka semua bermula dari bawah dan setiap cef mempunyai cerita pahit-manis mereka yang tersendiri,” ucap Cef Luqman Hakim bin Haji Othman, 32, Pemilik dan Pengasas sebalik URBN Kitchen ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.

    Cef Luqman, adalah anak kelahiran tempatan yang mempunyai pengalaman di bidang industri penyediaan makanan dan minuman lebih daripada sembilan tahun. Beliau sudah minat memasak sejak kecil lagi. Namun, beliau sendiri tidak menyangka untuk menceburi industri tersebut sekaligus menjadi karier pada hari ini.

    Bekas pelajar kejuruteraan mekanikal

    Cef Luqman ketika muda begitu menyukai subjek Sains, terutama di dalam bidang Fizik dan Kimia. Justeru itu, beliau telah melanjutkan pembelajaran di sebuah institusi di Australia dengan mengambil kursus Kejuruteraan Mekanikal pada tahun 2003.

    Cef Luqman penuh fokus dan berkeyakinan ketika bekerja di dapur.
    Cef Luqman ketika menerima ijazah daripada Swiss Hotel Management School (SHMS), Switzerland.
    Merakamkan kejayaan di Hotelier Institute Montreux (HIM), juga di Switzerland.
    Cef Luqman Hakim ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.

    Namun, kerana bidang tersebut terlalu sukar untuk diikuti, beliau kembali ke Brunei dan menuntut di Sekolah Antarabangsa Jerudong.

    “Pada masa itu, pensyarah saya mendorong untuk menceburi bidang industri hospitaliti kerana melihat peribadi saya yang mudah mesra, apatah lagi berbicara tentang makanan. Menurutnya, saya akan berjaya di bidang tersebut. Pada waktu itu, saya belum faham apa sebenarnya ‘industri hospitaliti’, sehingga saya berulang-kali mengatakan ‘tidak’ kerana menganggap ia adalah berkenaan dengan hospital. Rupa-rupanya berkaitan dengan industri restoran, hotel, pelancongan dan sebagainya. Melihat hobi terpendam saya yang memang suka memasak, saya memberanikan diri untuk menceburi bidang tersebut,” jelas beliau diiringi dengan ketawa.

    Pendidikan formal di Industri Hospitaliti

    Sekitar tahun 2005, Cef Luqman meneruskan pengajian bagi peringkat Diploma dalam bidang hospitaliti dan pelancongan di Singapura. Selepas kembali ke tahahair dalam tahun 2006, beliau telah mula menanamkan hasrat untuk menceburi bidang pekerjaan di hotel-hotel atau restoran di Brunei, namun dilarang oleh ibubapa beliau.

    “Menurut ibubapa saya, bekerja di industri hospitaliti tanahair menerima gaji pada kadar yang sangat rendah. Sebaliknya, mereka ingin saya terus belajar ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Saya kemudiannya mencari institusi-institusi yang menawarkan kursus bahagian hospitaliti dan pada masa itu, hanya sebuah universiti di Switzerland sahaja yang menawarkan kursus tersebut. Walaupun agak jauh, demi mencapai cita-cita, saya teruskan juga pengajian di sana.”

    Cef Luqman bersama rakan seperjuangnya, Allahyarham Cef Azrol Omar.
    Cef Luqman memberikan sentuhan akhir di atas hidangan yang disediakannya.
    Ketika menjadi ‘Sous Chef’, salah satu tugasan kursus untuk menjayakan sebuah hidangan banquet.

    Semasa pengajian di Switzerland, Cef Luqman terpaksa kembali belajar di peringkat diploma walaupun sudah mempunyai sijil di Singapura, kemudian beliau meneruskannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Sehinggalah dalam tahun 2010, beliau berjaya menerima sijil Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan dan Hotel, serta Restoran dan Pentadbiran Pusat Peranginan, daripada Swiss Hotel Management School (SHMS) dan Hotelier Institute Montreux (HIM) dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Amerika dan Swiss.

    Bekerja di luar negara

    Menariknya, setelah tamat pengajian, Cef Luqman mencari pekerjaan berkaitan dengan latar pendidikan di luar negara. Melalui laman Internet, beliau telah menghantar permohonan pekerjaan di pelbagai negara, dan hanya mendapat jawapan dari tiga buah negara iaitu China, Malaysia dan Singapura.

    “Walaupun saya tahu, Malaysia dan Singapura memudahkan saya dari segi komunikasi, sebaliknya saya memilih China, di mana saya ditugaskan untuk membuka dan menjalankan sebuah restoran. Antara guru saya pada masa itu adalah Cef Stefan Stiller, berasal dari Jerman semasa saya bekerja di Restoran Michelin Star, Cef selebriti, David Laris, di restoran Purple Onion, Syarikat Naked Retreats bersama Cef Popo Tang dan sebagainya, ” jelas Cef Luqman.

    Menurut Cef Luqman, pada waktu itu, banyak cef-cef Inggeris datang ke China kerana pada masa itu negara tersebut mempunyai perkembangan ekonomi yang pesat. Mereka memilih China untuk melabur dan menjalankan perniagaan.

    “Setentunya bekerja dengan cef-cef tersebut adalah pengalaman terbaik, kerana bukan sahaja saya dapat melatih diri secara professional tetapi penimbaan ilmu yang tidak putus-putus,” tambah beliau.

    Membina karier di tanahair

    Pada tahun 2015, Cef Luqman mula membina karier di tanahair dengan membuka Firma Perundingan bidang Industri Makanan dan Minuman, iaitu hasil kerjasama dengan Allahyarham Cef Azrol Omar yang dinamakan sebagai Gourmet Consultant.

    ‘Caramalizied Oyster Mushroom’, menghidangkan helaian kepingan daging, cendawan, dan keju gruyere di atas roti, cukup unik daripada URBN Kitchen dimasak sendiri oleh Cef Luqman.
    ‘Compressed Lamb’, hidangan yang memerlukan masa lebih daripada 48 jam untuk disediakan, cukup kompleks dan unik, disajikan bersama campuran rempah herba.
    Berhati-hati ketika meletakkan rempah herba di atas daging kambing yang telah dibakar.

    Dalam tahun berikutnya, Cef Luqman juga telah membuka sebuah restoran, yang dikenali dengan nama URBN Kitchen.

    Sebelum itu, beliau pernah bekerja di Empire Hotel & Country Club, Hayatt di Istana Nurul Iman dan sebagainya.

    “Antara kerja saya melibatkan penyelia hidangan, terutamanya sebelum ia dihantar kepada pelanggan. Saya memastikan persembahan dan rasa makanan mencapai standard yang terbaik,” jelas Cef Luqman.

    Terkini, URBN Kitchen dalam proses pemindahan, dan pada masa yang sama, Cef Luqman juga menjalankan sekolah Learning Tree, termasuk mentadbir makanan di kantin.

    Uniknya, setiap makanan hanya ditawarkan pada harga yang cukup murah dan sederhana untuk para murid. Pada waktu terluang, Cef Luqman juga sering mengadakan aktiviti memasak secara persendirian.

    “Saya sentiasa rasa seronok ketika memasak. Kadang-kala aktiviti memasak itu terbawa-bawa sehingga ke alam mimpi. Lazimnya, saya suka memasak hidangan yang unik, dan kompleks di mana saya dapat mencabar kemahiran diri saya. Walaupun telah mempunyai pengalaman bertahun-tahun di bidang industri ini, proses belajar tidak pernah berhenti, dan saya akan terus belajar,” ucap Cef Luqman penuh keikhlasan.

    Selaku seorang cef, Chef Luqman menyimpan cita-cita dan harapan untuk mengangkat industri makanan tanahair setaraf dengan peringkat antarabangsa. Itu juga antara objektif penubuhan firma perundingan beliau, untuk memberi bimbingan dan khidmat nasihat dalam industri ini, terutama bagi mereka yang ingin membuka perniagaan restoran, hotel dan sebagainya.

    “Hidangan yang sempurna bagi saya adalah hidangan yang mempunyai keseimbangan yang sempurna, tekstur yang betul, nutrisi yang cukup seimbang, rasa yang sempurna, iaitu semuanya ada kesatuan dan keseimbangan, yang akhirnya pasti membuatkan orang yang menikmatinya tersenyum,” jelas Cef Luqman di hujung temuramah, sementara tangannya memberikan sentuhan akhir di atas hidangan yang dimasaknya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda