Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kreativiti perlu demi pembangunan

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Brunei Darussalam mempunyai potensi membiayai pembangunan infrastrukturnya melalui pembiayaan dan teknologi yang kreatif namun kerajaan mesti terlibat dalam struktur pembiayaan.

    “Dalam konteks Brunei, perlunya pembiayaan kerajaan dalam alat penstrukturan pembiayaan seperti Agensi Pelaburan Brunei (BIA) dalam membiayai infrastruktur serupa dengan di Singapura, Temasek dan IFC.

    “Beberapa dana kerajaan mesti menjadi sebahagian daripada penstrukturan dalam infrastruktur pembiayaan,” tambah Pengarah Pusat Penyelidikan Pengurusan Aset dan Pelaburan (CAMRI) di Sekolah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Profesor Joseph Cherian.

    Ditemu bual selepas membuat pembentangan pada Meja Bulat Brunei Darussalam Tahunan ke-13 di Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini, beliau berpendapat bahawa untuk menjayakannya, perlunya kerajaan untuk membawa pemain-pemain institusi bagi memberikan jaminan kerugian pertama.

    “Sediakan akses kepada pelabur runcit melalui teknologi dengan memperkenalkan struktur token digital supaya orang Brunei dan yang lain boleh membeli token tersebut untuk mengumpul wang bagi pembiayaan infrastruktur,” tambah Profesor Joseph Cherian.

    Profesor Joseph Cherian semasa menyampaikan pembentangannya di majlis itu.

    Beliau berpendapat bahawa ia boleh dilaksanakan di Brunei tetapi memerlukan kreativiti, kemahuan, kesemua pihak berkepentingan termasuk institusi kerajaan dan kewangan untuk menjayakannya.

    Menurutnya, Brunei sangat unik kerana negara ini diberkati dengan dana kerajaan, BIA adalah sangat terkenal di seluruh dunia.

    Beliau percaya bahawa ia dapat dilakukan di Brunei tetapi memerlukan kreativiti dan keinginan semua pemegang kepentingan termasuk institusi kerajaan dan kewangan.

    Menyentuh mengenai token digital, Profesor Joseph menjelaskan bahawa ia belum berjaya dilaksanakan sebelum ini.

    “Terdapat token digital untuk elektrik dan hartanah di Singapura dan Amerika Syarikat tetapi ia tidak berjaya kerana ia adalah sektor swasta sepenuhnya.

    “Untuk menjayakannya, saya berpendapat bahawa perlunya penglibatan pihak kerajaan kerana jika kerajaan terlibat, keyakinan orang ramai terhadap token digital tersebut semakin meningkat,” jelasnya lagi.

    Untuk memulangkan pelaburan kepada orang ramai, beliau menekankan bahawa infrastruktur perlu menghasilkan wang seperti jalan raya boleh mempunyai tol, seperti yang terdapat di Malaysia dan Singapura.

    Pada acara meja bulat berkenaan, Profesor Joseph Cherian telah membentangkan tajuk ‘Peluang dalam Infrastruktur bagi Pasaran-pasaran Baharu Muncul termasuk ASEAN’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda