Kreativiti seni ukiran di atas getah

Oleh Lenna N.B.

 

KESENIAN tidak pernah terbatas dan ia sentiasa hidup di sekitar kehidupan seharian kita. Seni bukan sekadar lukisan di atas kanvas dan seni juga tidak terbatas hanya kepada nyanyian yang merdu tetapi kemampuan seni adalah lebih daripada itu, dan sangat meluas.

“Seni bagi saya adalah hidup. Hasil tangan seorang jurufoto adalah seni, iklan-iklan di televisyen dan media cetak juga seni, seorang pereka bentuk bangunan atau arkitek juga menghasilkan karya seni, begitu juga sofa, kartun-kartun yang menjadi hiburan di zaman kanak-kanak, rekabentuk ruang dalaman dan lain-lain. Seni itu luas. Dalam seni bagi saya, kita tidak perlu memberi pengertian terhadap hasil tangan sendiri tetapi biarlah pengertian atau interpretasi itu diserahkan kepada penghayatnya. Biar mereka merasai sendiri misteri di sebalik seni dan hubungan kehidupan mereka dengan seni itu. Itulah betapa istimewanya seni bagi saya,” ucap Dayang Siti Rawini binti Awang Sulaiman, 33.

Walaupun setiap hari melaksanakan tugasannya sebagai Jurutera Testing Progresif Cellular Sdn. Bhd., Dayang Siti Rawini sebenarnya mempunyai minat yang mendalam dalam seni, sehinggakan kebanyakan waktu sampingannya diisi dengan meluangkan masa untuk melukis, mengukir dan berkarya.

Dari situ, Dayang Siti Rawini menjadikan kemahiran seni yang dimilikinya untuk menjana pendapatan lebih di bawah jenama Pupu Shi.

Pengajian di Korea

Dayang Siti Rawini dalam tahun 2008, pernah mengikuti pengajian di Universiti Brunei Darussalam di bawah kursus Sains Komputer. Namun, beliau kemudiannya berhenti di semester dua setelah mendapat peluang biasiswa dari Kerajaan Korea. Dalam tahun 2009 seterusnya, beliau telah mengambil kursus Bahasa Korea sebagai persediaan pengajiannya di Korea.

Dayang Siti Rawini ketika menyiapkan salah satu tempahan pengecap getah pelanggannya.
Dayang Siti Rawini ketika menyiapkan salah satu tempahan pengecap getah pelanggannya.
Proses pembuatan dimulakan dengan melukis imej di atas kertas.
Proses pembuatan dimulakan dengan melukis imej di atas kertas.
Bengkel seni lukis yang telah dikelolakan oleh Dayang Siti Rawini.
Bengkel seni lukis yang telah dikelolakan oleh Dayang Siti Rawini.

Di tahun 2010, Dayang Siti Rawini secara rasminya menjadi seorang mahasiswi di Kyung Pook National University, Daegu, Korea di bawah program Ijazah Sarjana Muda dalam kursus Fine Art. Pengajian di Korea baginya bukan sahaja memberikan peluang untuk menerokai budaya masyarakat Korea tetapi juga kesenian mereka.

“Saya masih ingat semasa pengajian di tahun akhir, kami bukan sahaja melukis di atas kertas atau kanvas, tetapi juga melukis di atas peralatan-peralatan tertentu yang memerlukan kerja memahat dan mencetak. Dalam tempoh enam bulan kami melakukan kerja-kerja seni tersebut, dan hampir apa sahaja barang-barang boleh dijadikan bahan seni sama ada bahan tekstil atau sesuatu yang keras, seperti seramik, tembaga dan lain-lain. Ringkasnya, dalam tempoh satu semester itu, kami mempelajari mengenai cara untuk menghasilkan karya seni di atas benda,” jelas Dayang Siti Rawini.

Sejak itu, Dayang Siti Rawini turut berminat ingin menerokai bentuk seni tersebut, sehingga beliau menemui satu produk pengecap getah di laman Internet di mana dia boleh memahat dan melukis di atasnya. Proses penghasilannya pula hampir sama dengan apa yang telah dipelajarinya semasa pengajian di universiti.

“Saya menempah produk tersebut, kemudian mula melukis dan mengukir. Pada mulanya memang banyak cacat celanya. Namun, latihan demi latihan yang berterusan telah dapat membantu saya untuk menghasilkan sesuatu lukisan di atas getah tersebut, hampir-hampir sempurna dan saya masih dalam proses belajar,” jelas Dayang Siti Rawini.

Sebalik jenama Pupu.Shi

Mengimbas kembali detik pengajian di Korea, nama ‘Pupu Shi’ adalah panggilan gelaran untuk Dayang Siti Rawini oleh rakan-rakannya yang berbangsa Korea di mana mereka mengalami kesukaran untuk memanggil nama sebenarnya. Namun kini, nama tersebut bukan sekadar nama gelaran bagi beliau tetapi menjadi platform untuk merealisasikan kemahiran seninya.

Dayang Siti Rawini ketika ditemu ramah.
Dayang Siti Rawini ketika ditemu ramah.
Konsep kartun di alam fantasi.
Konsep kartun di alam fantasi.
Siri lukisan kecil karya Dayang Siti Rawini.
Siri lukisan kecil karya Dayang Siti Rawini.
Antara projek Dayang Siti Rawini yang telah dijayakan.
Antara projek Dayang Siti Rawini yang telah dijayakan.

Melalui media sosial Instagram, Dayang Siti Rawini mengongsikan puluhan hasil-hasil tangannya di samping turut menerima tempahan pengecap getah yang dilukis khas mengikut permintaan daripada orang ramai.

Perniagaan pengecap getah ini baru sahaja bermula dalam tahun 2016, seratus peratus dipahat dan diukir dengan menggunakan tangan.

“Pada mulanya, ramai yang terkejut kerana pertama kali perniagaan seperti ini dilakukan terutamanya dengan pengecap getah yang melibatkan kerja-kerja seni tangan. Kebanyakan apa yang ditawarkan di kedai-kedai adalah pengecap yang diperbuat daripada mesin, malah agak terbatas seni pembuatannya. Namun, dengan kemahiran tangan saya, saya boleh melukis mengikut kemahuan mereka,” jelas Dayang Siti Rawini.

Proses pembuatan

Proses pembuatan bermula dengan melukis imej di atas kertas, kemudian dipindahkan ke atas getah dengan memberikan tekanan di permukaannya agar imej atas kertas itu melekat ke arah permukaan getah. Selepas itu, barulah pahatan dan ukiran bermula sehinggalah di penghujungnya, getah tersebut dilekatkan dengan kayu pemegangnya.

“Cara pembuatannya mungkin mudah, namun cabarannya adalah bagaimana ia menghasilkan imej yang sempurna apabila dicap ke atas kertas. Jika ada kecacatan, saya perlu mengukirnya semula atau terpaksa menggunakan getah yang baru. Saya tidak mahu pelanggan saya tidak berpuas hati dengan hasil tangan saya.”

Namun, selaku seorang pelukis, Dayang Siti Rawini juga mengalami kesukaran terutama apabila melukis sesuatu yang sangat halus atau kecil. Oleh itu, sebelum memberikan atau mempersetujui bagi menerima tempahan, beliau akan berterus terang dengan pelanggannya terutama apabila imej yang dilukis itu terlalu kecil.

Hasil seni Dayang Siti Rawini yang beraneka ragam.
Hasil seni Dayang Siti Rawini yang beraneka ragam.
Pengecap getah yang pelbagai corak dan bentuk.
Pengecap getah yang pelbagai corak dan bentuk.
Proses pemindahan imej ke arah permukaan getah.
Proses pemindahan imej ke arah permukaan getah.
Alat pahatan getah yang mempunyai pelbagai bentuk pisau.
Alat pahatan getah yang mempunyai pelbagai bentuk pisau.

“Kebanyakan tempahan yang saya terima adalah logo dan nama-nama. Pengecap nama-nama biasanya digunakan untuk dicap ke atas cenderamata ataupun sarung surat. Selalunya, saya bekerjasama dengan pelanggan apabila melukis memastikan mereka mempersetujuinya dan suka sebelum ke proses seterusnya. Saya sangat prihatin untuk menghasilkan yang terbaik demi mereka,” jelas Dayang Siti Rawini.

Satu peralatan penting dalam menghasilkan pengecap getah ini adalah alat pahatan yang mempunyai puluhan jenis pisau dari yang kecil hingga yang besar, begitu juga yang berbentuk V dan U. Setiap pisau memainkan peranan yang berbeza di atas pahatan yang dihasilkannya. Proses penghasilan menurut Dayang Siti Rawini boleh mengambil masa selama dua hingga tiga jam namun bergantung kepada bentuk imej yang dilukisnya. Malah boleh mencapai hingga beberapa hari kerana menunggu bahan-bahannya datang dan mencukupi untuk proses pembuatan.

Umpama terapi

Salah satu bentuk kraf yang digemarinya adalah dikenali sebagai Ashifa, mempunyai rekabentuk yang seakan-akan kaligrafi dan mempunyai unsur-unsur Jawi. Melakukan kerja pahatan menurut Dayang Siti Rawini adalah umpama terapi kerana dia hanya perlu memahat sesuatu di atas getah mengikut imej yang dilekatkan tanpa perlu berfikir. Malah boleh menyejukkan hati dan melupakan masalah.

“Di masa akan datang, saya merancang ingin mengadakan pameran dan bengkel seni kraf di atas getah, kertas, fabrik dan lain-lain. Saya juga ingin mempamerkan siri lukisan-lukisan kecil saya. Walaupun saya pada masa ini melakukan pahatan di atas getah, tetapi saya tetap meluangkan waktu untuk melukis di atas kertas, melakukan ilustrasi dan sebagainya. Seni lukis sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya,” ujar Dayang Siti Rawini di hujung temuramah.