NEW YORK – Ramai yang berasa kagum dengan kegigihan Marie Kondo, seorang wanita berasal dari Jepun dalam melakukan kerja-kerja penyusunan barang ke dalam bekas tertentu.
Mereka berharap agar dia turut mengongsikan rahsia teknik hitherto yang dikongsikannya dalam buku yang ditulisnya.
Di dalam bukunya berjudul The Life-Changing Magic of Tidying Up yang diterbitkan pada tahun 2011 di Jepun menjelaskan bahawa masalah penyimpanan dapat diatasi hanya menggunakan barang-barang yang ada di dalam rumah.
Tahap pemikiran Kondo juga semakin berkembang terutama apabila namanya semakin menjadi sebutan di seluruh dunia. Malah dia juga telah menjalinkan kerjasama dengan Netflix bagi menerbitkan rancangan televisyennya yang tersendiri bagi membantu memudahkan penonton untuk melakukan aktiviti mengemas rumah.
Terbaru, dia juga telah melancarkan produknya tersendiri iaitu kotak kertas dengan corak yang cantik terdiri daripada enam bahagian.

Kondo telah mengongsikan langkah pengemasan rumah dengan mudah hanya menggunakan pelbagai jenis kotak melalui bukunya yang berjaya terjual sebanyak 10 juta unit di lebih 40 buah negara.
Dia berharap agar pembacanya dapat mengikuti kaedah KonMori yang dapat membantu seseorang individu untuk menyusun barangan tertentu, membuang barangan yang tidak diperlukan dan meletakkan kotak penyimpanan itu ke bahagian yang bersesuaian.
Kebanyakan aktiviti menyusun barang itu dilakukan dengan mengumpulkan kotak kasut yang terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk.
Di samping itu, kotak kecil seperti bekas kotak iPhone turut dihasilkan yang dikenali sebagai Hikidashi yang merujuk kepada ‘laci’ untuk menempatkan barangan kecil seperti kacamata, kertas, stokin, pakaian dalam dan baju-T.
“Kaedah Konmori merupakan satu aktiviti penyusunan barang dengan menggunakan kotak-kotak kosong yang diperkenalkan oleh saya. Ternyata dengan penyusunan kotak ini ia secara tidak langsung akan menjadikan keadaan sesuatu ruangan akan kelihatan menjadi lebih kemas dan teratur,” jelas ibu kepada dua orang anak itu dalam nada yang sangat lembut.
Populariti nama Kondo dilihat terus melonjak naik terutama apabila dia telah melancarkan buku Life-Changing Magic yang dilengkapi bersama dengan terjemahan berbahasa Inggeris pada tahun 2014.
Malah namanya juga turut disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 individu berpengaruh pada tahun 2015 oleh majalah Time.
Setakat ini, dia juga berjaya menawarkan khidmatnya selaku seorang perunding ruang dalaman rumah meliputi 23 buah negara termasuk Eropah, Amerika, Australia dan Timur Tengah.


Pada masa ini, dia lebih gemar menumpukan keunikan struktur kotak itu sendiri yang memiliki pelbagai warna seperti merah jambu, kelabu dan ungu.
“Seringkali saya mendengar ramai di kalangan individu yang merungut mengenai cara tertentu untuk melakukan aktiviti mengemas dan saya juga terus berusaha untuk memberikan motivasi,” jelas Kondo.
“Dalam menerbitkan suatu suasana ceria ketika melakukan aktiviti mengemas, penampilan sesuatu ruangan itu juga wajar untuk dititikberatkan,” tambah Kondo.
Kondo yang menetap di Tokyo itu telah menjelaskan kepada The Associated Press bahawa dia tidak pernah berhasrat untuk berhenti daripada terus menulis.
“Ia merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan terutama apabila saya berpeluang untuk memberikan ceramah dan turut tampil dalam beberapa rancangan televisyen,” jelas Kondo.
Kondo memang seorang individu yang sangat teliti terhadap sesuatu ruangan dan mula aktif melakukan aktiviti seawal usia lima tahun.
Dari situ, dia juga sentiasa memantau aktiviti anaknya dan memastikan mereka turut menerapkan prinsip mengemas sebagai satu tanggungjawab yang harus digalas oleh setiap individu.
“Saya memang telah melatih anak-anak saya untuk melipat pakaian mereka dengan sendiri malah mereka juga banyak mempelajari teknik lipatan itu hanya melalui pemerhatian. Walaupun ia tidak sesempurna yang dijangkakan namun saya sedar bahawa ia adalah satu perkembangan positif terutama dalam mengambil kira bahawa mereka sedang berada pada peringkat pembelajaran,” jelas Kondo. – AP