Oleh Vikneswaran A/L Raman
KUALA LUMPUR – Kriket, mempunyai sejumlah besar pengikut di benua kecil India, Australia, West Indies dan banyak lagi bekas jajahan British yang lain.
Walaupun mencatat sukan penonton kedua popular selepas bola sepak, kriket masih belum mampu menggamit lebih ramai rakyat Malaysia sama ada untuk bermain di padang mahupun menontonnya.
Malaysia tetap menyertai permainan itu dan berada di tangga ke-26 dalam senarai kedudukan Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) untuk One-Day International (ODI) dalam kalangan 104 negara, namun belum tersenarai bagi saingan versi singkat Twenty20 (T20).
Namun, pasukan Malaysia yang terbaik masih dianggap sebagai muka baharu dalam permainan ini. Pasukan itu masih belum meraih sebarang kejayaan besar atau pencapaian yang boleh dibanggakan daripada pelbagai kejohanan yang disertai kecuali Sukan SEA baru-baru ini di mana pasukan itu berjaya memenangi emas bagi acara lelaki 50 Over dan perak bagi acara T20, serta gangsa bagi acara wanita T20 daripada tiga acara yang dipertandingkan.
Pada pertandingan Piala Asia Remaja Bawah-19 Majlis Kriket Asia (ACC) 2017 baru-baru ini, tuan rumah, Malaysia berada di tangga tercorot kumpulan A. Amat mengejutkan, dalam acara berkenaan, Afghanistan, negara yang dilanda pergolakan, berjaya mengalahkan bukan sahaja Pakistan, malah juara-juara bertahan, India dan Bangladesh untuk merangkul kejuaraan itu.
Walaupun jurulatih Malaysia Suresh Navaratnam menyatakan bahawa persembahan hambar pasukan nasional pada ACC adalah kerana 11 daripada pemain skuad itu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan mereka yang bermain berusia 14-16 tahun, pastinya masih banyak yang perlu dilakukan.
Tiada pengganti
Mungkin kita boleh belajar daripada pasukan negara asing tentang cara untuk membawa kriket menjadi tajuk utama berita sukan di Malaysia, sepertimana bola sepak, badminton, hoki dan olahraga.
Apabila penulis bertanyakan jurulatih-jurulatih dan ketua-ketua pasukan ketika perlawanan Piala Asia Remaja Bawah-19 ACC 2017 tentang pemerhatian mereka terhadap pemain-pemain Malaysia dan bagaimana Malaysia boleh muncul sebagai pasukan yang digeruni dalam dunia kriket, nyata para pemain kriket negara ini tidak berada di landasan yang betul.
Pemain India Rahul Dravid, yang dianggap sebagai pemukul tersohor dalam sejarah kriket, yang kini menjadi jurulatih pasukan bawah 19 tahun India, berkata tidak ada sebarang formula rahsia untuk berjaya kecuali dengan menyertai pelbagai kejohanan.
“Kamu perlu menyertai banyak perlawanan dan mendapatkan lebih pengalaman untuk mengetahui cara berhadapan dengan pelbagai situasi berbeza. Pemain-pemain Malaysia bagus dan berbakat, tetapi mereka tidak ada pengalaman dan perlukan pendedahan yang luas.”
“Secara keseluruhannya, Malaysia telah bermain dengan baik dan mencuba sebaik mungkin. Agak sukar bagi mereka untuk mencabar negara yang berstatus ‘test’ dalam permainan itu kerana mereka tidak mendapat peluang-peluang yang baik sepertimana diperoleh pemain kami, jadi anda mesti hormati dan terima keadaan itu,” kata pemain berusia 44 tahun yang bermain untuk India dari 1996-2012.
Sependapat dengan beliau adalah bekas ketua pasukan Nepal, Binod Kumar Das, yang menasihati Persatuan Kriket Malaysia agar mula memupuk minat terhadap sukan itu di peringkat sekolah rendah lagi.
“Tidak ada pengganti bagi pengalaman, jika mereka terus bermain dan menyertai kejohanan ia akan membantu mengasah bakat mereka. Kerana melalui latihan akademi dan pengajaran, mereka hanya akan mahir daripada segi teknikal, dan bukan muncul pemain yang hebat,” kata jurulatih Bawah-19 Nepal itu.
Infrastruktur dan galakan
“Selain pengalaman menyertai kejohanan, aspek lain yang perlu dilihat adalah kemudahan dan infrastruktur untuk bermain kriket, serta galakan,” kata jurulatih Bawah-19 Bangladesh Damien Wright.
“Dalam usaha memperbaiki kedudukan kriket di negara ini, perlu memastikan terdapat cukup infrastruktur dan banyak galakan untuk bermain kriket. Saya rasa kemudahan dan segalanya di sini sangat mengagumkan, pelbagai kemudahan sukan sedia ada.
“Mungkin Malaysia perlu menganjurkan perlawanan-perlawanan kriket di sini dan menawarkan pasukan-pasukan antarabangsa untuk bermain di sini. Mempelajari daripada mereka pasti akan memberi banyak faedah,” kata rakyat Australia itu yang dalam kunjungan pertama ke Malaysia.
Selama bertahun-tahun, Malaysia sebagai ahli bersekutu ICC telah beberapa kali menjadi tuan rumah untuk acara-acara antarabangsa seperti Kejohanan Kriket Piala Dunia ICC Bawah 19, pada 2008, yang antara lain disertai pemain seperti Virat Kohli, Persidangan Tahunan ICC 2012, Siri Tiga negara antara Australia, India dan East Indies pada 2006 dan Piala Belia Asia ACC Bawah 19 tahun pada 2012 dan 2017.
Walaupun kita mungkin mempunyai pemain yang berpotensi, jelas bahawa negara jarang sekali menganjurkan perlawanan selain penyertaannya dalam perlawanan luar negara juga sangat terhad.
Jurulatih Malaysia juga mengakui bahawa liga domestik yang lemah perlu diberi perhatian dalam usaha mempertingkatkan tahap sukan itu di Malaysia. Senario semasa kedudukan Malaysia dalam sukan kriket perlu difikirkan semula. – Bernama