TOKYO – Apabila YouTuber, Hannah Price berusaha untuk membandingkan pelindung matahari Jepun dan Australia, dia tidak menjangkakan bahawa subjek itu akan mendapat lebih dua juta tontonan.
Sebahagian besar orang yang meneliti video Price menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap produk penjagaan kulit dari Jepun, sama seperti fenomena kecantikan K-pop dari Korea Selatan.
Ia termasuk perlindungan matahari, yang semakin diiktiraf sebagai keperluan harian oleh pempengaruh yang ingin melindungi kulit mereka daripada penuaan dan teruja dengan tekstur lembut jenama Jepun.
Syarikat yang telah menyempurnakan formula rahsia mereka mahu memanfaatkan permintaan yang berkembang pesat, termasuk dengan membina kilang di luar negara dan menjual kepada kemasukan pelancong asing yang ramai ke Jepun.
Price, 32, ‘terpikat dan menjadi leka selama setahun’ ketika membuat videonya, mempelajari segala-galanya daripada sains SPF kepada sikap budaya kepada pendedahan matahari.









“Saya sentiasa menyukai pelindung matahari Jepun, sejak saya mula-mula berpindah ke Jepun pada 2012,” katanya kepada AFP di studionya di Tokyo.
“Saya masih ingat mencubanya buat kali pertama dan berfikir, ‘ini jauh lebih baik daripada apa-apa yang saya cuba di Australia’,” negara asalnya di mana krim pelindung matahari terasa ‘tebal, melekit, berminyak.’
“Saya fikir video itu akan menjadi popular… tetapi saya tidak menjangkakan ia akan menerima sambutan yang begitu memberangsangkan,” kata Price.
Tabiat penggunaan pelindung matahari secara tetap telah menular, terutama dalam kalangan generasi muda, kata Takuya Wada, yang bekerja dalam bidang pemasaran untuk firma kimia dan kosmetik Jepun Kao.
“Tiada batasan apabila membabitkan pemerolehan maklumat di media sosial, terutamanya Instagram dan TikTok,” katanya sambil menambah siaran pempengaruh mempunyai kesan ‘amat besar’ ke atas jualan krim pelindung matahari global.
‘CANTIK PUTIH MELEPAK’
Pasaran penjagaan kulit global bernilai lebih daripada AS$115 bilion pada 2024 dan ia dijangka meningkat kepada AS$194 bilion menjelang 2032, menurut Fortune Business Insights.
Ledakan dalam jenama penjagaan kulit selebriti telah menyumbang kepada pertumbuhan industri – dengan selebriti senarai A seperti Kylie Jenner menggunakan media sosial untuk berkongsi rutin kecantikan mereka, termasuk perlindungan matahari, bersama ratusan juta pengikut.
Apabila bercakap tentang pelindung matahari, peraturan khusus negara bermakna tiada satu-satunya syarikat mendominasi bidang itu, memandangkan sekatan kemasukan ke pasaran baharu adalah lebih tinggi.
Jenama pelindung matahari utama Kao, Biore UV menduduki tempat ke-10 di seluruh dunia untuk jualan, dan kedua di Asia bersaing dengan L’Oreal dan Beiersdorf, serta pesaing Jepun seperti Shiseido.
Syarikat itu mahu jualan daripada perlindungan matahari mencecah 35 bilion yen (AS$240 juta) pada 2027, meningkat 1.6 kali ganda daripada 2023.
Ia merancang untuk meningkatkan pengeluaran luar negara dengan membuka tiga ki-lang pelindung matahari baharu, di Indonesia, Brazil dan Jerman.
Dari segi teknikal, adalah sukar untuk membangunkan formula yang menyekat sinaran secara berkesan dengan tekstur yang lembut, seperti yang dituntut oleh pengguna Jepun, kata Takashi Fukui, pengarah penyelidikan dan pembangunan untuk produk penjagaan kulit Kao.
Tetapi menggunakan pengetahuan saintifik untuk mencapai keseimbangan yang rumit ini menjadikan Kao ‘berbeza daripada pembuat Eropah atau Amerika yang lain.’
Di Jepun, obsesi budaya terhadap kulit cerah wujud sejak abad keenam dan menggunakan bedak putih yang diimport dari China kemudiannya menjadi simbol status dalam golongan bangsawan.
Kulit cerah menunjukkan kehidupan yang jauh dari kerja luar dan pendedahan matahari, dan pepatah lama Jepun mengatakan ‘kulit cerah menyembunyikan tujuh kelemahan.’
Pada tahun 1990an, orang ramai mula menggunakan pelindung matahari atau kosmetik lain untuk mengelakkan kulit berwarna sawo matang trend yang digelar ‘bihaku,’ atau putih cantik.
Kini, wanita Jepun menggunakan pelindung matahari sebagai perlindungan setiap hari terhadap tompok matahari dan penuaan, yang berlaku apabila sinaran UV menembusi ke dalam kulit, kata Fukui.
MATAHARI MUSIM SEJUK
Kulit gelap telah lama menjadi popular di negara Barat, tetapi kesedaran tentang risiko kanser kulit semakin meningkat, menjadikan pelindung matahari sebagai produk penjagaan kesihatan yang penting di sana, menurut Fukui.
Salah seorang peminat jenama Jepun ialah pempengaruh penjagaan kulit Thailand, Suari Tasanakulpan, yang menggelarnya ‘ringan’ berbanding tawaran Barat yang ‘berat dan tidak selesa.’
“Sentiasa wujudnya teknologi baharu dan tekstur inovatif yang sering mendahului negara lain,” beritahu lelaki berusia 40 tahun itu, yang mengulas pelindung matahari di YouTube, kepada AFP.
Di cawangan rangkaian kedai ubat MatsukiyoCocokara di daerah Shibuya di Tokyo, kira-kira 90 produk pelindung matahari tersusun kemas di rak.
“Penjualan pelindung matahari semakin meningkat dari tahun ke tahun,” kata Takeshi Otsuki, timbalan pengurus bahagian kosmetik rangkaian itu.
“Lebih ramai orang menggunakan pelindung matahari setiap hari sekarang, jadi keperluan mereka menjadi lebih pelbagai,” katanya.
Bilangan pelanggan lelaki juga bertambah, dan pelindung matahari Jepun sangat popular dengan pelancong luar negara yang membelinya dalam pelbagai pek, kata Otsuki.
Sementara musim panas adalah musim kemuncak, pelindung matahari popular sepanjang tahun, kerana Jepun mempunyai ‘bilangan hari cerah yang agak tinggi pada musim sejuk, dan waktu cahaya matahari adalah panjang.’
YouTuber Price kini menggunakan pelindung matahari Jepun dan Australia, bergantung pada keadaan.
Dia melihat peningkatan dalam pendidikan tentang pelindung matahari di seluruh dunia sebagai situasi menang-menang.
Ini ‘bermakna awda akan dilindungi dengan lebih baik secara umum, yang bagus untuk semua orang,’ katanya. – AFP

