Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Beberapa individu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Penggal 133 kerana didapati terlibat dalam pencurian bekalan elektrik dan pendawaian haram bagi perlombongan mata wang kripto.
Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) turut menjalankan siasatan ke atas beberapa individu atas kegiatan yang sama.
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kelmarin, kegiatan sindiket jenayah terancang itu berjaya dibongkar dan ditumpaskan melalui tindakan sepadu agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan iaitu Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam (AENBD), Pejabat Peguam Negara (PPN), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) melalui pendekatan Whole of Government.
Sindiket-sindiket yang terbukti menjalankan kegiatan itu dinilai telah memperlekehkan dan tidak menghormati undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Perbuatan dengan niat untuk mendapatkan bekalan elektrik secara haram dengan cara melencongkan pendawaian daripada meter, mengganggu meter dan pendawaian elektrik memintas meter adalah satu kesalahan di bawah Akta Elektrik, Penggal 71 yang boleh dikenakan denda tidak lebih dari $50,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh yang demikian, dengan mengambil kira risiko-risiko dari sudut keselamatan maka kegiatan perlombongan mata wang kripto di negara ini adalah dilarang.
Pihak kerajaan menegaskan kepada orang ramai dan para peniaga di negara ini untuk tidak melanggan mana-mana perkhidmatan yang menyalahi undang-undang negara, termasuk
Akta Elektrik.
Orang ramai dan para peniaga yang mendapati mana-mana pihak ataupun individu yang menawarkan perkhidmatan atau mana-mana premis yang dicurigai melanggan perkhidmatan yang menyalahi Akta Elektrik digesa untuk melaporkan dengan segera kepada pihak PPDB di talian 993 atau meng-hubungi terus Talian Darussalam 123.
Orang ramai, terutamanya pemilik dan penyewa rumah persendirian termasuk bangunan komersil adalah bertanggungjawab ke atas premis yang dimiliki dan disewakan supaya sentiasa mematuhi peraturan-peraturan dan syarat yang dikenakan oleh agensi yang berkenaan serta memastikan tidak ada unsur kegiatan yang menyalahi undang-undang seperti perlanggaran Akta Elektrik yang sedang berkuat kuasa pada masa ini.