KUALA LUMPUR, Feb 28 – Mata wang kripto bukan mata wang yang menyimpan nilai seperti wang fiat biasa dan perlu diperlakukan hanya sebagai medium pertukaran, kata Pengerusi Eksekutif Amanie Advisors Sdn Bhd, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Beliau berkata masih ada sinar harapan bagi mata wang kripto kerana ia menyediakan urus niaga alternatif dan selamat.
“Urus niaga mata wang kripto direkodkan dan rekod itu boleh diperiksa daripada hari pertama ia diurusniagakan. Ia juga tidak boleh digodam,” katanya semasa perbincangan meja bulat mengenai mata wang kripto dan sistem kewangan digital yang dianjurkan oleh institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, hari ini.
Cendekiawan Syariah Malaysia itu berkata, mata wang kripto yang berpencar, seperti bitcoin dan ethereum, perlu diperlakukan sebagai medium pertukaran yang beroperasi secara bebas, sama dengan skim mata perbatuan yang tidak cair tetapi boleh ditukarkan bagi nilai tertentu.
“Perlakukan mata wang kripto sebagai medium pertukaran, tetapi ia tidak berfungsi sebagai wang fiat kerana ia tidak berfungsi sebagai medium pengukuran dan menyimpan nilai.
“Penggunaan (mata wang kripto) sama dengan wang fiat yang berasaskan kepada kepercayaan, urus niaga berpencar dan terbuka semuanya berkaitan dengan kepercayaan,” katanya.
Meskipun menganggap mata wang digital sebagai mempunyai sistem lejar agihan awam terbuka (yang dipanggil blockchain) yang disulitkan, telus dan tidak boleh digodam, Mohd Daud menyifatkan mata wang kripto sebagai kurang diterima awam dan sukar dicairkan kepada wang fiat kerana ketika ini tiada pertukaran di negara ini.
Walaupun terdapat kebimbangan kemungkinan wang haram dibersihkan atau pembelian pasaran gelap dipermudahkan dengan mata wang kripto, Mohd Daud berkata teknologi blockchain boleh membantu memastikan kawalan yang lebih baik
daripada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA). – Bernama