Friday, May 9, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Krishh bantu anak yatim melalui penjualan buku

    ISKANDAR PUTERI – Setelah berjaya menjual buku pertamanya yang menjadikan Krishh Haran Nair sebagai penyumbang termuda Yayasan Sultan Ibrahim Johor baru-baru ini, dia kini bertekad untuk membantu lebih ramai orang terutama anak-anak yang menjadi yatim akibat COVID-19 melalui penjualan buku keduanya.

    Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu sedang menyiapkan sambungan buku pertamanya yang bertajuk The Mysterious War to the Deep, sebuah buku 12 halaman yang penjualannya baru-baru ini berjaya mengumpulkan lebih RM7,000 dan disumbangkan kepada yayasan berkenaan.

    “Saya ingin menulis lebih banyak buku, membuat siri kedua untuk buku ini yang berjudul Pillar and The Golden Sword. Ia mempunyai unsur-unsur misteri dan pengembaraan. Untuk buku seterusnya, saya ingin membantu rumah anak-anak yatim dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan kewangan, supaya mereka dapat membeli makanan, mainan dan buku.

    “Buku ini adalah mengenai seorang lelaki bernama Pillar, dia pergi berperang, tersesat di hutan dan rakan-rakannya juga tersesat. Pillar mempunyai ramuan ajaib ketika berperang dan menjadi raja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

    Pelajar Sunway International School Sunway Iskandar itu juga berkata bahawa dia ingin membantu meringankan beban keluarga yang akan menjaga anak-anak yatim ini.

    Murid di Sunway International School Sunway Iskandar Krishh Haran Nair menggunakan hasil jualan buku ringkas tulisannya The Mysterios War in the Deep untuk sumbangan amal ketika ditemui di rumahnya di Harizon Hills. – Bernama

    Anak tunggal kepada N. Ramakrishnan dan R. Jayanthimarlin berkata dia bersyukur dan berterima kasih atas sokongan terhadap buku cerita pendeknya yang pertama sehingga mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, yang menzahirkan kekaguman dengannya.

    “Saya sangat bangga, sangat gembira dan berterima kasih kepada mereka yang membeli buku dan menyumbangkan wang sehingga saya dapat memberikan (sumbangan itu) kepada Sultan Johor untuk membeli kotak makanan, seterusnya dapat menyumbangkannya (kepada golongan yang memerlukan),” katanya.

    Sementara itu, Jayanthimarlin berkata selepas Sultan Ibrahim membuat hantaran di laman Facebook rasmi Baginda pada 9 Oktober lepas, ramai pihak menghubunginya dan suami menyatakan sokongan serta dorongan selain ingin mendapatkan e-buku yang dihasilkan oleh Krishh Haran.

    “Pada mulanya selepas Krishh Haran memberi idea yang dia ingin menjual buku untuk mengutip derma, kami menghantar mesej suara kepada keluarga, kawan-kawan dan guru yang menyatakan Krishh Haran telah menulis satu buku cerita dan ingin mengutip derma serta mahu membantu orang yang memerlukan. WhatsApp berdurasi hampir dua minit itu tersebar.

    “Guru online (dalam talian) Krishh Haran turut membantu menyebarkan bahawa Krishh Haran sedang membuat kutipan derma, jadi kawan-kawannya di Australia, Kanada, Sepanyol dan Bangkok, Thailand selain dua buah sekolah tamil di Negeri Sembilan turut membeli buku tersebut dalam bentuk hardcopy (salinan cetak),” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda