KOLKHOZOBOD – Untuk menghilangkan dahaganya, seorang buruh Tajikistan, Nematoullo Bassirov terpaksa mengambil risiko dengan mengambil air dari anak sungai yang mengalir melalui halaman rumahnya dan berharap dia tidak akan jatuh sakit.
Walaupun glasier gunung memberikan Tajikistan dengan rizab yang banyak di rantau Asia Tengah, akses kepada air minuman yang bersih dan selamat masih merupakan satu keutamaan di negara miskin itu.
“Terdapat pelbagai kotoran di dalamnya,” kata Bassirov kepada AFP, sambil memungut beg sampah, pembungkus makanan dan tin minuman kosong dari sungai kecil itu.
Kadangkala dia menemui lampin, atau najis daripada angsa jirannya.
Anak sungai itu digunakan oleh seluruh kampungnya di daerah Balkh, yang dikenali secara meluas dengan nama era Soviet Kolkhozobod, di barat daya Tajikistan.





“Selepas menyiram tanaman, air berlumpur mengalir di sini mengandungi racun perosak,” kata lelaki berusia 58 tahun itu kepada AFP.
Kakak iparnya sedang membersihkan anggur di sungai, bersedia untuk diletakkan di atas meja makan.
INFRASTRUKTUR SOVIET
Hanya 41 peratus daripada 10 juta penduduk Tajikistan mempunyai akses kepada air minuman yang selamat, menurut data rasmi dari tahun 2023.
Sambungan ke rangkaian sanitasi adalah lebih rendah, hanya 15 peratus yang mana ia merupakan kadar terendah di Asia Tengah.
Di seluruh rantau itu, kira-kira 10 juta daripada 80 juta orang kekurangan akses kepada air minuman bersih, menurut Bank Pembangunan Eurasia.
Kebanyakan kawasan diliputi gurun kering berdebu, bergelut untuk mendapatkan bekalan.
Bagaimanapun, Tajikistan berdepan masalah yang berbeza.
Sebanyak 25,000 glasier gunung di Tajikistan dan Kyrgyzstan, ini bermakna kedua-dua buah negara mengawal sekitar dua pertiga daripada rizab air rantau itu, menunjukkan bahawa air sepatutnya cukup.
Tetapi infrastruktur yang ketinggalan zaman dan kesukaran pembiayaan merumitkan bekalan air minuman yang banyak dan boleh dipercayai.
Bermula dari era Soviet dan kemudian musnah lagi akibat perang saudara pada tahun 1990an, satu perempat daripada infrastruktur air negara itu tidak berfungsi.
Jurutera hidraulik, Abdourakhim Abdoulloev, berkata masalah infrastruktur adalah perkara biasa.
“Stesen bekalan air minuman ini menyediakan perkhidmatan kepada 2,800 isi rumah.
Tetapi peralatan tersebut memerlukan pembaikan agar bekalan dapat disambung semula,” katanya.
KEMATIAN AKIBAT AIR
Sebagai negara termiskin di seluruh bekas Kesatuan Soviet, Tajikistan juga berdepan realiti ekonomi yang sukar.
Defisit pembiayaannya dijangka meningkat kepada AS$1.2 bilion menjelang 2030, menurut ramalan Bank Pembangunan Eurasia.
Satu kajian yang diterbitkan tahun lepas dalam jurnal saintifik, Nature, mendapati Tajikistan telah mencatatkan purata 1,620 kematian tahunan yang berkaitan dengan air yang tidak selamat antara tahun 1990 dan 2020.
Penyelidik dari Arab Saudi dan Pakistan baru-baru ini meramalkan tentang trend peningkatan kematian yang berkaitan dengan air.
Presiden Emomali Rahmon, yang berkuasa sejak tahun 1992, telah menjadikan diplomasi air sebagai asas dasar luarnya, dengan mendorong pelbagai resolusi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Terima kasih kepada sungai-sungai pemberi kehidupan yang mengalir dari pergunungan Tajik yang dilitupi salji, padang pasir yang dahaga bertukar menjadi oasis,” petikan beliau yang ditampal pada poster di Balkh.
Pihak berkuasa pada musim bunga ini melancarkan pelan 15 tahun untuk meningkatkan akses kepada air minuman yang selamat di seluruh negara itu.
Isu tersebut hanya akan menjadi lebih meruncing dengan peningkatan populasi penduduk.
“Menyediakan perkhidmatan air minuman dan sanitasi adalah keutamaan utama,” kata pelan itu.
MASALAH SAKIT PERUT
Di sungai kotor di Balkh, wanita sedang membasuh pinggan mangkuk dan pakaian di air yang keruh. Para pelajar sekolah membersihkan berus yang digunakan pada cat hijau, sementara kanak-kanak mandi.
Beberapa kilometer jauhnya, walaupun mempunyai akses ke sungai itu akan menjadi satu kemewahan bagi Malika Ermatova.
Wanita berusia 30 tahun itu, yang tinggal di tanah yang gersang sepenuhnya, menerima air
yang dihantar melalui trak, dipam ke dalam tangki simpanan empat tan di bawah halaman rumahnya.
“Kami menggunakan air ini untuk segala-galanya. Minum, membasuh pakaian, membersihkan halaman, menyiram taman,” kata Ermatova, dikelilingi oleh tiga orang anaknya.
Ia biasa berlaku, walaupun di pinggir ibu kota Dushanbe.
“Tetapi air cepat kotor. Kami menukarnya setiap tiga hingga empat minggu,” katanya.
Wilayah tempat tinggalnya, yang dipanggil Khatlon dan bersempadan dengan Afghanistan, adalah yang paling panas di negara itu dengan suhu yang kerap melebihi 40 darjah Celsius sepanjang musim panas.
Sedar akan bahayanya, Bassirov cuba menjadikan air dari anak sungai di halaman rumahnya selamat.
Dia membiarkannya mendap di dalam baldi untuk membuang kotoran yang terapung ke atas dan kemudian merebusnya.
Walaupun dia berwaspada, keluarganya kerap mengalami sakit.
Dan Bassirov sendiri bimbang bahawa perutnya tidak lagi terbiasa dengan air. – AFP

