LONDON, 26 SEPT – Mauricio Pochettino telah merayu supaya diberikan lebih banyak masa ketika dia berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap krisis Chelsea yang semakin memuncak. Tetapi sejauh manakah kesabaran pemilik kelab itu?
The Blues, juara Eropah dua tahun lalu, kini berada di tangga ke-14 dalam carta Liga Perdana, hanya empat mata di atas zon penyingkiran, selepas meraih satu kemenangan dalam enam perlawanan pertama mereka.
Halangan terbaharu mereka adalah kekalahan 1-0 menentang Aston Villa, baru-baru ini dengan Ollie Watkins menjaringkan gol kemenangan selepas pemain pertahanan Chelsea, Malo Gusto dibuang padang.
Tahun lalu, Chelsea mencatat jumlah mata terendah dalam era Liga Perdana tetapi mereka telah membuat permulaan yang lebih buruk dalam kempen semasa.
“Berikan saya masa,” Pochettino merayu selepas perlawanan baru-baru ini, menggesa pemilik kelab Amerika untuk menyokongnya.
“Mereka (pemilik) kecewa, mereka tiba di kelab dan begitu teruja untuk membina sebuah projek.
“Sudah tentu mereka berasa kecewa tetapi pada masa yang sama mereka perlu menyokong rancangan itu,” tambahnya.
Pochettino telah disahkan sebagai pengurus baharu di Stamford Bridge pada Mei – menjadi bos tetap ketiga sejak konsortium Todd Boehly membeli kelab London barat itu daripada Roman Abramovich pada 2022.
Chelsea memuji jurulatih Argentina itu sebagai ‘jurulatih yang berjaya, yang telah bekerja di peringkat tertinggi’.
Boehly menyokong pengurusnya dengan membiayai satu lagi perbelanjaan besar semasa jendela perpindahan musim panas, menjadikan perbelanjaan Chelsea untuk pemain baharu dalam masa lebih setahun melebihi £1 bilion (AS$1.2 bilion).
Tetapi pulangan pelaburan mereka sangat teruk dalam tempoh perubahan dan dibelenggu krisis di dalam dan luar padang. – AFP
