Krisis ekonomi global perlu masa untuk pulih – IMF

WASHINGTON, 10 SEPT – Ekonomi global mula menunjukkan perubahan positif selepas kesan pandemik COVID-19, tetapi pemulihan sepenuhnya dijangka tidak dapat berlaku sekiranya vaksin belum ditemui, kata Ketua Tabung Kewangan Dunia (IMF) Kristalina Georgieva, kelmarin.

Beliau menyatakan kerajaan perlu terus menyokong pekerja dan perniagaan kerana krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia berupaya menimbulkan gelombang muflis dan ketiadaan pekerjaan.

Memandangkan sekatan pergerakan yang kini dilonggarkan dan perniagaan mula dibuka, berlaku peningkatan terhadap pengeluaran, penggunaan dan pekerjaan.

“Skala bantuan yang besar dan kepantasan sokongan kerajaan dapat mengurangkan beban dan memungkinkan untuk pemulihan awal.

“Walau bagaimanapun, krisis kesihatan ini masih belum tamat. Pemulihan masih sangat rapuh dan tidak meluas di seluruh wilayah dan sektor.

“Untuk memastikan pemulihan berterusan, adalah mustahak sokongan tidak ditarik sebelum waktunya,” menurutnya dalam satu kolum yang ditulis bersama Ketua ekonomi IMF, Gita Gopinath, dalam majalah Foreign Policy.

Katanya, firma yang tidak mampu bayar juga memerlukan bantuan berterusan untuk mencegah kemusnahan berjuta-juta pekerjaan.

Ia boleh dilakukan dengan kerajaan mengambil ekuiti dalam firma atau memberikan geran sebagai pertukaran dengan kadar cukai yang lebih tinggi kemudian.

“Dengan 128 vaksin COVID-19 yang sedang dalam kajian masa ini, kemungkinan besar penyelesaian akan ada, tetapi kita harus segera merancang penyelesaian multilateral untuk memastikan bekalan dan pengedaran yang mencukupi,” katanya. – AFP

Gambar fail bertarikh 4 Mac 2020 menunjukkan Kristalina Geogieva semasa bercakap pada taklimat media berkaitan COVID-19 di Washington. – AFP