Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Krisis kebuluran yang kritikal jejas ibu hamil, anak damit

    ANKARA, 9 JULAI – Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) kelmarin memberi amaran bahawa puluhan ribu wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak di Gaza sedang berdepan krisis kebuluran dan kesan yang amat membimbangkan terhadap anak damit yang baru lahir, lapor agensi Anadolu (AA).

    Pejabat Serantau UNFPA bagi Negara Arab dalam kenyataan di platform X memaklumkan bahawa seramai 50,000 wanita hamil dan menyusukan anak ‘tidak makan selama beberapa hari.’

    “Anak damit dilahirkan terlalu awal, terlalu kecil,” menurut kenyataan itu yang turut menyebut bahawa kekurangan zat dalam kalangan ibu menghalang mereka daripada menyusukan anak damit, manakala susu formula pula tidak lagi boleh diperoleh.

    “Anak damit yang baru lahir kini berdepan risiko kematian atau masalah kesihatan sepanjang hayat,” menurut agensi itu.

    UNFPA menyifatkan keadaan itu sebagai krisis yang sepatutnya boleh dicegah dan menggesa agar bantuan kemanusiaan segera disalurkan. Kenyataan itu diakhiri dengan seruan: “#OpenUpGaza Benarkan bantuan masuk.”

    Menurut agensi-agensi PBB, akses kemanusiaan ke Gaza masih sangat terhad, hingga memburukkan lagi krisis dalam kalangan golongan paling terdedah termasuk wanita dan kanak-kanak.

    UNFPA dan agensi antarabangsa lain terus mendesak semua pihak berkepentingan agar memudahkan penyampaian bantuan penting yang boleh menyelamatkan nyawa penduduk di wilayah terkepung itu. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda