Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Krisis kekurangan zat di Gaza membimbangkan – WHO

    GENEVA, 28 JULAI –  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kadar kekurangan zat di Gaza kini berada pada tahap amat membimbangkan.

    Katanya, sekatan sengaja terhadap bantuan kemanusiaan sebagai punca utama krisis yang sebenarnya boleh dicegah dan telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban.

    “Kekurangan zat di Gaza berada pada trajektori berbahaya dengan lonjakan kematian yang ketara direkodkan pada Julai,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

    Daripada 74 kematian yang dikaitkan dengan kekurangan zat sepanjang tahun ini, sebanyak 63 kes berlaku pada Julai sahaja termasuk 24 kanak-kanak bawah lima tahun, seorang kanak-kanak berusia lebih lima tahun dan 38 orang dewasa.

    “Kebanyakan mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di fasiliti kesihatan atau tidak lama selepas itu dengan tubuh mereka menunjukkan tanda-tanda jelas kekurangan zat makanan yang teruk.

    “Krisis ini sebenarnya boleh dicegah sepenuhnya. Sekatan dan kelewatan bantuan makanan, perubatan dan kemanusiaan berskala besar yang disengajakan telah meragut banyak nyawa,” kata agensi kesihatan PBB itu.

    WHO menegaskan perlu ada tindakan berterusan untuk ‘membanjiri’ Semenanjung Gaza dengan bekalan makanan pelbagai dan berkhasiat, penghantaran segera bekalan terapeutik untuk kanak-kanak serta kumpulan rentan, selain ubat-ubatan dan keperluan asas lain.

    “Penghantaran bantuan ini mesti berterusan dan tidak dihalang bagi menyokong proses pemulihan serta mengelak keadaan menjadi lebih buruk,” menurut agensi beribu pejabat di Geneva itu.

    WHO turut mendedahkan hampir seorang daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun di Bandar Gaza kini mengalami kekurangan zat akut, berdasarkan data rakan kerjasama dalam Kumpulan Pemakanan (Nutrition Cluster).

    Seorang kanak-kanak lelaki mengusap leher seekor keldai berdiri di tengah runtuhan selepas serangan udara Israel semalaman di selatan Semenanjung Gaza pada 28 Julai. – AFP

    Kadar kanak-kanak berusia enam hingga 59 bulan yang mengalami malnutrisi akut di kawasan itu dilaporkan telah meningkat tiga kali ganda sejak Jun, menjadikan Bandar Gaza kawasan paling teruk terjejas di wilayah Palestin itu.

    “Angka ini mungkin jauh lebih rendah daripada keadaan sebenar berikutan sekatan akses dan risiko keselamatan yang menghalang ramai keluarga daripada mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan,” kata WHO.

    Menurut WHO, dalam tempoh dua minggu pertama Julai, lebih 5,000 kanak-kanak bawah lima tahun telah menerima rawatan pesakit luar akibat kekurangan zat dengan 18 peratus daripadanya menghidap bentuk paling akut.

    Menurut WHO lagi, seramai 6,500 kanak-kanak menerima rawatan akibat kekurangan zat di Gaza pada Jun sekali gus menjadikannya jumlah tertinggi direkodkan sejak perang bermula pada Oktober 2023.

    Bulan (Julai) ini sahaja, seramai 73 kanak-kanak menghidap SAM dengan komplikasi perubatan turut dimasukkan ke hospital, meningkat daripada 39 kes pada bulan sebelumnya.

    WHO turut memaklumkan kerosakan serius terhadap perkhidmatan air dan sanitasi kini mendorong kitaran bahaya penyakit dan kematian.

    Katanya, bagi wanita hamil dan menyusu, data saringan Kumpulan Pemakanan pula menunjukkan lebih 40 peratus mengalami kekurangan zat teruk.  – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda