GENEVA, 5 MEI – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merancang untuk membantu kira-kira 860,000 individu yang dijangka berpindah keluar dari Sudan berikutan konflik berdarah di negara itu, dan sejumlah AS$445 juta akan diperlukan bagi menyokong usaha terbabit hingga Oktober depan.
Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mengemukakan rayuan kepada negara penderma berhubung perkara itu, semalam.
Katanya, dana berkenaan akan disalurkan kepada mereka yang menyelamatkan diri ke Chad, Sudan Selatan, Mesir, Ethiopia dan Republik Afrika Tengah.
Pengumuman semalam dibuat ketika Khartoum bergelut dengan krisis yang menyaksikan pertempuran membabitkan tembakan dan letupan kini memasuki hari ke-20 sehingga menjejaskan usaha gencatan senjata.
Lebih 100,000 orang telah meninggalkan Sudan sejak pertempuran berdarah meletus pada 15 April lalu antara Angkatan Tentera Sudan dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Menurut perangkaan PBB, kira-kira 330,000 orang lagi kehilangan tempat tinggal di Sudan dan keadaan itu semakin memburuk.
Penolong Ketua Operasi UNHCR, Raouf Mazou berkata agensi itu kini amat memerlukan dana baharu bagi menampung keperluan yang kian meningkat.
“Keperluan itu adalah besar dan cabaran dihadapi juga banyak. Jika krisis berterusan, keamanan dan kestabilan di seluruh rantau itu boleh terancam,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP


