ISTANBUL, 12 Mac – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini memberi amaran Belanda yang ia akan menerima akibatnya kerana menghalang menteri-menteri tertingginya daripada mengadakan perhimpunan menjelang referendum untuk meluaskan kuasanya, ketika krisis itu memuncak bersama rakan-rakan penting Turki dalam Kesatuan Eropah (EU).
Erdogan memperbaharui tuduhan kontroversi yang Belanda – diduduki oleh orang Jerman dalam Perang Dunia Kedua – bertindak seperti Nazi dalam layanannya ke atas menteri-menteri Turki.
Penganalisis meramalkan keputusan tegang bagi referendum 16 April dan menteri-menteri penting Turki telah merancang perhimpunan besar di bandar-bandar utama EU untuk meraih sokongan dari jutaan warga Turki yang berada di luar negara.
Namun Menteri Keluarga Turki, Fatma Betul Sayan Kaya telah disingkirkan selepas dihalang dari mengendalikan perhimpunan di bandar pelabuhan Rotterdam, Belanda.
Juga hujung minggu ini, The Hague enggan membenarkan pesawat Menteri Luar Negeri, Mevlut Cavusoglu untuk mendarat menjelang perhimpunan yang dirancang itu.

“Hei Belanda! Jika kamu mengorbankan hubungan Turki-Belanda demi pilihan raya pada Rabu, anda akan menerima balasannya,” kata Erdogan yang berang memberitahu satu majlis di Istanbul, merujuk kepada pilihan raya pada 15 Mac dalam sekutu NATO, Turki.
“Mereka akan belajar apa itu diplomasi,” katanya dengan penuh geram, menambah bahawa apa yang berlaku ‘masih tidak dapat dijawab’.
Erdogan menegaskan kembali tuduhannya pada Sabtu yang kelakuan Belanda berhubung lawatan Turki itu berfahaman ‘Nazi, fasis’.
Polis bertempur dengan penunjuk perasaan pro-Erdogan di Belanda semalam sementara di Istanbul, hari ini, seorang lelaki memanjat ke bumbung konsulat Belanda dan menggantikan bendera Belanda dengan bendera Turki.
Bendera itu kemudian diturunkan dan pegawai Turki menegaskan konsulat itu tidak dimasuki dari luar dan ‘pegawai konsular’ menaikkan bendera atas inisiatif mereka sendiri. Konsulat enggan untuk memberi komen.
Jurucakap kementerian luar negeri Belanda memberitahu AFP bahawa situasi itu ‘masih belum jelas’ dan Belanda telah ‘membantah kepada pihak berkuasa Turki’ berhubung insiden tersebut.
Pertikaian terbaru muncul selepas sekutu-sekutu NATO, Turki dan Jerman bertikai berhubung pembatalan beberapa siri acara kempen referendum di sana.
“Barat sudah jelas menunjukkan wajah sebenarnya dalam beberapa hari ini,” kata Erdogan.
“Apa yang kita telah saksikan adalah manifestasi jelas mengenai Islamofobia,” tambahnya. – AFP