Krisis Ukraine-Rusia jejas ekonomi EU

BRUSSELS, 5 Dis – Ketegangan antara Ukraine dan Rusia di luar laut Crimea telah memberi kesan terhadap ekonomi Kesatuan Eropah (EU) tatkala kapal-kapal Eropah berdepan masalah, menurut ketua diplomatik blok hari ini. Rusia telah menawan kapal-kapal Ukraine dan anak-anak kapal minggu lepas dan dituduh oleh Kiev menyekat pergerakan kapal belayar di Selat Kerch yang menghubungkan Laut Azov ke Laut Hitam.

Federica Moghreini berkata EU menerima kesan dan beliau akan membangkitkan isu itu bersama menteri-menteri luar Rusia dan Ukraine pada mesyuarat di Milan.

“Kami sangat bimbang mengenai perkembangan di Laut Azov, bukan sahaja tindakan terhadap Ukraine tetapi ia juga kerana aktiviti-aktiviti kapal di Laut Azov semakin berkurang yang juga membawa bendera anggota EU,” menurut Mogherini sejurus tiba untuk mengadakan rundingan bersama menteri-menteri luar NATO.

“Jadi kita sedang berdepan impak terhadap ekonomi berbanding ancaman keselamatan seperti yang kita lihat hari ini.”

Lewat bulan lalu, Rusia melepaskan tembakan dan menawan tiga buah kapal tentera laut Ukraine tatkala mereka cuba untuk belayar melalui Selat Kerch.

Anggota tentera Rusia telah menawan 24 kru Ukraine, tiga daripadanya cedera.

Insiden itu merupakan kejadian paling merbahaya yang pernah berlaku dalam tempoh beberapa tahun antara kedua-dua buah negara yang juga berdepan dengan konfrontasi sejak 2014 apabila Rusia mengambil alih Crimea dan menyokong serangan di timur Ukraine.

Meskipun berdepan dengan gesaan antarabangsa bagi pembebasan mereka, warga Ukraine tersebut telah ditahan selama dua bulan dan sekarang berada di Moscow.

Menteri Luar Ukraine, Pavlo Klimkin menggunakan rundingan bersama rakan sejawatan NATO semalam untuk memberi tekanan kepada sekutu untuk menimbulkan jawapan komprehensif untuk ancaman keselamatan Rusia. – AFP

Federica Mogherini berucap semasa Persidangan PBB mengenai Afghanistan pada 28 November lalu. Menurut Moghreini, EU menerima kesan akibat krisis Ukraine-Rusia dan beliau akan membangkitkan isu nanti. – AFP