BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kristal Astro memaklumkan bahawa saluran Standard Definition (SD) Sport yang termasuk Astro SuperSport ch831, Astro SuperSport 2 ch832, Astro SuperSport 3 ch833, Astro SuperSport 4 ch834 dan EuroSport ch840 akan dihentikan pada pukul 11:59 tengah malam 30 April.
Disebabkan saluran-saluran yang terbabit hanya terdapat dalam kualiti definisi tinggi (HD), Kristal Astro dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menggesa para pelanggan yang masih mempunyai Set-Top Box lama untuk segera menukarnya dengan HD Set-Top Box dan melanggan mana-mana pakej Santai HD dan pakej Santai Sport HD untuk menggelakkan kekecewaan terlepas saluran-saluran SD.
Kenyataan menyatakan, pakej lengkap Kristal Astro HD Set-Top Box termasuk penerima satelit, Out-Door Unit (ODU) Satellite Dish, SmartCard, kabel HDMI dan unit kawalan jauh.
Kristal Astro Santai HD menawarkan tiga peringkat pakej harga yang berlainan iaitu Santai Family HD bagi pakej hiburan asas, Santai Value HD pula adalah pakej peringkat pertengahan dan Max HD pula mempunyai akses kepada saluran-saluran premium seperti HBO HD, Cinemax HD, FOX Movies HD, FOX HD, National Geographic, Nat Geo Wild dan Discovery Asia.
Di samping Primary Set-Top Box, Santai Value HD dan Santai Max HD, pelanggan boleh menambah sehingga empat sambungan sekunder di bawah akaun sama. Malah, pelanggan juga boleh menambah pakej saluran Melayu atau Bahasa Cina.
Kenyataan turut mengongsikan bahawa kadar promosi bagi Santai Sport HD masih sah sehingga September depan, sementara itu bayaran langganan bagi sambungan sekunder kekal sama.