Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kristal di Marikh bukti wujud air purba

    AMERIKA SYARIKAT, 18 APRIL -Penemuan saintis mengenai bukti kukuh persekitaran purba yang kaya dengan air di bawah permukaan Marikh menawarkan harapan baharu dalam pencarian kehidupan lampau di Planet Merah itu, lapor Xinhua.

    Menurut Universiti Teknologi Queensland (QUT) kelmarin, menggunakan data daripada rover Perseverance milik NASA, penyelidik menemukan dua jenis kristal dalam batu dari Kawah Jezero, kawasan yang dipercayai pernah menampung sebuah tasik.

    Kristal yang terdiri daripada kalsium sulfat itu terbentuk dalam dua tempoh berbeza – satu lapisan mineral terbentuk di bawah permukaan satu lagi kira-kira 80 meter di bawah tanah.

    Perkara ini menunjukkan berlakunya beberapa fasa aktiviti air, kata pasukan penyelidik antarabangsa yang diketuai Michael Jones dari Kemudahan Penyelidikan Analitikal Pusat QUT dan Pusat Pengajian Kimia dan Fizik.

    Menurut Jones, “Mineral sulfat wujud dengan pelbagai kandungan air yang berbeza di kawasan Marikh dan membantu kita memahami bagaimana air bergerak di planet itu, yang penting dalam menilai kebolehdiaman masa lampaunya.”

    Bagi mengkaji kristal tersebut, pasukan penyelidik menggunakan kaedah baharu yang dinamakan X-ray Backscatter Diffraction Mapping, yang disesuaikan dengan instrumen PIXL (Planetary Instrument for X-ray Lithochemistry) rover, membolehkan mereka meneliti struktur kristal tanpa perlu membawa batuan itu ke Bumi, menurut kajian yang diterbitkan dalam Science Advances.

    Sejak mendarat pada 2021, rover Perseverance telah meneroka batuan purba, mengumpul data dan menyimpan sampel bagi menilai kebolehdiaman Marikh untuk misi masa depan yang berkemungkinan membawa pulang sampel itu ke Bumi, menurut kajian tersebut. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda