FRANKFURT, 2 MEI – Bank-bank zon euro mengetatkan kriteria pemberian pinjaman pada suku pertama pada kadar terpantas sejak krisis hutang kerajaan 2011, manakala permintaan untuk pinjaman jatuh teruk, menurut tinjauan Bank Pusat Eropah (ECB) yang dikeluarkan hari ini.
Tinjauan mendapati kesan pengetatan monetari yang agresif digabungkan dengan kegawatan sektor perbankan baru-baru ini, dan boleh menggalakkan ECB untuk memilih kenaikan kadar faedah yang lebih kecil pada hari Khamis.
Kriteria pemberian pinjaman bank diperketat lagi untuk pinjaman kepada kedua-dua firma dan isi rumah, mencerminkan “kadar pasaran yang lebih tinggi berbanding kadar pinjaman,” kata tinjauan itu.
Sebanyak 27 peratus bank-bank melaporkan pengetatan piawaian kredit untuk pinjaman kepada syarikat, bermakna lebih sukar bagi perusahaan untuk meminjam.
Sementara itu, bank-bank melaporkan bahawa permintaan untuk pinjaman daripada firma jatuh teruk, dengan penurunan “paling kukuh sejak krisis kewangan global”, dengan kos pinjaman yang lebih tinggi dilaporkan sebagai pemacu utama, kata ECB.
Permintaan untuk pinjaman perumahan juga merosot, manakala terdapat penurunan yang lebih kecil dalam hal kredit pengguna dan pinjaman lain kepada isi rumah, katanya.
Bank-bank juga melaporkan bahawa akses kepada pembiayaan merosot, mungkin sebahagiannya disebabkan oleh pergolakan sektor perbankan pada bulan Mac. – AFP