Wednesday, November 6, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kritik pemimpin Kemboja, pembantu rumah dihantar pulang

    PHNOM PENH, 4 OKT – Seorang wanita Kemboja yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia telah dihantar pulang ke tanah airnya kerana komen yang disiarkannya di media sosial mengkritik pemimpin kerajaan Kemboja, dalam contoh terbaharu kerajaan Asia Tenggara membantu negara jiran menangkap penentang.

    Seorang pegawai penjara Kemboja dan kumpulan aktivis pembangkang berkata kelmarin, Nuon Toeun, 36, yang telah bekerja di Malaysia selama beberapa tahun, telah ditahan minggu lepas oleh pihak berkuasa Malaysia atas permintaan daripada kerajaan Kemboja.

    Kumpulan hak asasi manusia telah mengkritik beberapa kerajaan Asia Tenggara kerana bekerjasama mengganggu, menahan dan mengusir pembangkang politik dalam buangan.

    Pemerhati Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di New York menggesa kerajaan Thailand berhenti memaksa pembangkang politik untuk kembali ke negara asal mereka, termasuk Vietnam, Laos, Kemboja dan China, di mana mereka mungkin menghadapi penyeksaan, penganiayaan atau kematian.

    Freedom House, sebuah pertubuhan berpangkalan di Amerika Syarikat yang menggalakkan demokrasi, berkata amalan menyerang atau menghantar balik penentang dalam buangan ‘semakin menjadi fenomena biasa’ ketika lebih banyak kerajaan di seluruh dunia menggunakannya untuk menutup mulut penentang.

    Jurucakap jabatan penjara Kemboja, Nuth Sovana berkata Nuon Toeun telah ditahan di penjara Prey Sar di Phnom Penh sebaik sahaja tiba di Kemboja Selasa lalu.

    Dia didakwa menghasut untuk melakukan jenayah atau menimbulkan gangguan sosial dan menghasut untuk melakukan diskriminasi agama, kaum atau kewarganegaraan, katanya.

    Namun dia tidak dapat memberikan butiran mengenai kesalahan yang dituduh dilakukannya. – AP

    Gambar fail bertarikh 9 November 2023 menunjukkan Hun Manet (tengah kiri), berdiri di sebelah bapanya dan bekas Perdana Menteri, Hun Sen (tengah kanan), semasa Hari Kemerdekaan ke-70 negara itu, di Phnom Penh, Kemboja. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda