SEOUL, 27 MAC – Pihak berkuasa Korea Selatan hari ini mengumumkan mereka akan menjalankan pemeriksaan ke atas padang bola sepak elit di seluruh negara selepas kapten kebangsaan, Son Heung-min menyalahkan keadaan permukaan padang yang teruk menjejaskan harapan mereka dalam Piala Dunia.
Masalah padang yang tidak berkualiti telah lama menjadi isu dalam bola sepak Korea Selatan, dengan bekas penyerang Manchester United dan England, Jesse Lingard, yang kini bermain untuk FC Seoul, turut menyuarakan kebimbangan.
Dua perlawanan kelayakan Piala Dunia di laman sendiri bulan ini terpaksa dipindahkan dari Seoul kerana keadaan rumput stadium ibu negara tidak memuaskan, namun Son turut mengkritik lokasi yang menjadi pengganti.
“Apabila bermain di tempat sendiri, sepatutnya kami menikmati keadaan padang terbaik, tetapi keadaan tidak menunjukkan sebarang peningkatan,” kata Son kepada pemberita selepas keputusan seri 1-1 menentang Jordan di Suwon pada Selasa.
Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan berkata mereka akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas padang di semua 27 stadium K League bermula April ini.
Pegawai jugaakan meneliti bagaimana negara lain, termasuk Jepun, menyelenggara permukaan padang mereka.
“Keadaan padang stadium bukan sahaja mempengaruhi prestasi pemain, tetapi juga mengelak kecederaan dan kepuasan penonton,” kata seorang pegawai kementerian. – AFP
