Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Seramai 20 pegawai dari Kompleks Rumah Kebajikan (KRK), Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah membuat lawatan ke ibu pejabat persatuan Aftercare Support Association (AFSA) di Jalan Kebangsaan, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AFSA, menyatakan bahawa rombongan yang diketuai oleh Penolong Pengarah Kompleks Rumah Kebajikan, Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani telah dialu-alukan oleh Yang DiPertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya; Timbalan Yang DiPertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri serta pegawai-pegawai AFSA dan Rakan Seliaan (RS).
Semasa lawatan berkenaan, rombongan telah disajikan dengan beberapa acara iaitu sesi taklimat dan soal jawab, menyaksikan pembuatan kuih bahulu oleh RS serta lawatan ke penanaman lada hijau dan rumah hijau.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Haji Mustapa yang menerangkan perkembangan dan kejayaan AFSA khususnya dalam menyediakan perkhidmatan sokongan selepas pemulihan, beberapa strategi dalam penglibatan masyarakat dan proses integrasi semula serta lain-lain lagi.
Menurut Kaunselor AFSA, Nur Farzana binti Omar Ali, lawatan tersebut dapat menjalin jaringan kerja yang baik dan bekerjasama dalam menangani isu-isu RS dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan.
Manakala itu, Dayang Noryani menyatakan bahawa program dan aktiviti AFSA adalah sangat baik dan relevan dalam membantu dan menangani RS. Beliau menyatakan harapan semoga AFSA terus diberikan kekuatan dan semangat untuk membantu RS dan individu yang memerlukan perkhidmatan sokongan yang sedemikian.

