Kumpulan trio adik-beradik popular KRU bakal mencipta satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan seni mereka apabila tampil dengan ‘StarKRUise Showcase’, persembahan khas di atas kapal persiaran mewah yang akan berlayar dari Phuket ke Singapura pada Januari depan.
Ahli kumpulan, Datuk Norman Abdul Halim berkata persembahan berdurasi satu jam itu akan menjadi pembuka tirai aktiviti mereka bagi 2026 selepas kejayaan konsert GenKRU baru-baru ini.
Beliau berkata acara itu diadakan bagi memberi peluang kepada kumpulan tersebut berinteraksi lebih dekat dengan peminat dalam suasana santai, selain menikmati percutian selama lima hari empat malam di atas kapal mewah bersama-sama mereka.
“Acara ini lebih kepada untuk beramah mesra bersama peminat, kerana selain showcase kami juga akan sertai aktiviti santai bersama-sama mereka di atas kapal. Walaupun tak diwajibkan, rasa rugi kalau dah lima hari empat malam di situ tapi tak buat aktiviti dengan mereka.
“Ia bukan konsert besar, hanya persembahan satu jam, tapi satu pengalaman sekali seumur hidup bagi kami juga. Kami mahu tampilkan sesuatu yang berbeza, mungkin ada lagu-lagu bertema lautan atau nostalgia perjalanan karier kami, sebab tak mahu ulang persembahan sama seperti konsert sebelum ini,” katanya kepada Bernama selepas sidang media acara tersebut, baru-baru ini.
Pada Mei lepas, kumpulan yang turut dianggotai oleh Datuk Yusry dan Edry itu mencatat sejarah tersendiri apabila menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi persembahan terbanyak dilakukan dalam satu siri konsert dan penjualan tiket konsert terpantas dalam tempoh satu jam menerusi penganjuran Konsert GenKRU 2025.
Norman berkata acara itu adalah permulaan untuk 2026, pastinya ada sesuatu yang menarik disusun buat peminat pada tahun depan. – Bernama


