GENEVA, 3I DIS – Seorang anggota kru kabin Swiss International Airlines meninggal dunia selepas pesawat terpaksa melakukan pendaratan kecemasan disebabkan asap di dalam pesawat, menurut syarikat penerbangan itu kelmarin.
Pesawat Airbus A220-300 yang membawa 74 penumpang dan lima kru, dalam penerbangan dari Bucharest ke Zurich pada 23 Disember, terpaksa mendarat di Graz, Austria selepas masalah enjin menyebabkan asap memenuhi kokpit dan kabin. Pesawat tersebut mendarat dengan selamat.
“Kami mesti melaporkan, dengan kesedihan dan kekesalan yang paling mendalam, bahawa rakan sekerja muda kami meninggal dunia di hospital Graz kelmarin,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Swiss, Jens Fehlinger berkata kehilangan itu amat mengejutkan dan menyedihkan buat syarikat penerbangan itu, yang merupakan anak syarikat Lufthansa dari Jerman.
“Kami sangat terkesan dengan pemergian rakan sekerja kami,” katanya. “Saya ingin mengucapkan takziah mewakili seluruh warga Swiss kepada keluarga mangsa.”
Swiss dalam kenyataannya menambah, “Untuk menghormati orang tersayang, kami tidak akan memberikan maklumat terperinci tentang pekerja kami atau punca kematian.”
Terdahulu, selepas pesawat melakukan pendaratan kecemasan, seorang kru kabin diterbangkan dengan helikopter ke hospital di Graz dan dibawa ke unit rawatan rapi.
Seorang lagi kru turut dibawa ke hospital.
Semua penumpang telah dipindahkan dengan 12 daripadanya menerima rawatan perubatan.
Swiss hari ini mengesahkan bahawa semua penumpang yang dimasukkan ke hospital telah dibenarkan pulang.
Ketua Pegawai Operasi Swiss International Airlines, Oliver Buchhofer mengucapkan terima kasih kepada perkhidmatan kecemasan tempatan di Graz yang membantu penumpang dan anak kapal. – AFP