Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kru pembersihan cekal berdepan kerenah masyarakat

    SEREMBAN – Mengutip sampah lebih enam tan sehari, pekerja pembersihan SWM Enviroment terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk kerenah segelintir masyarakat yang seharusnya lebih bertimbang rasa demi menjaga kebersihan serta keselesaan persekitaran.

    Menceritakan pengalaman sebagai pemandu lori kompaktor dan lori Roro (Roll-on, Roll-off), Halim Munap berkata petugas kebersihan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana perlu berdepan dengan sikap sesetengah masyarakat yang sukar memberikan kerjasama terutamanya ketika kru pembersihan sedang memasuki lorong untuk mengangkut sampah.

    Katanya, bertugas di kawasan pusat bandar, kru kutipan sisa pepejal perlu menempuh trafik yang sibuk dan harus berhati-hati sebelum memberhentikan lori mereka kerana terdapat kenderaan di belakang mengekori rapat sewaktu kerja-kerja kutipan sedang dijalankan.

    “Kadang-kadang, ada orang yang bercakap kasar tetapi sebagai pekerja pembersihan kita perlu bersabar dan meneruskan tugas walaupun ada yang tidak memberikan kerjasama.

    “Saya dan kru kutipan sisa pepejal juga terpaksa memperuntukkan masa yang panjang bagi satu lokasi sekiranya sampah yang dilupuskan oleh peniaga berada dalam keadaan berterabur dan tidak dimasukkan ke dalam tong sampah dengan sebaiknya,” katanya kepada Bernama.

    Dua orang pekerja pembersihan SWM Environment melakukan kerja-kerja mengutip sampah di lokasi pengambilan sisa pepejal di sekitar kawasan pusat bandar, baru-baru ini. – Gambar Bernama
    Kerja-kerja mengutip sampah turut berdepan pelbagai cabaran termasuk kerenah segelintir masyarakat yang seharusnya lebih bertimbang rasa demi menjaga kebersihan serta keselesaan persekitaran. – Gambar Bernama
    Lori Roro yang dipandu oleh Halim Munap dengan dua pekerja pembersihan. Lori tersebut mengutip sampah lebih enam tan sehari dan dijalankan setiap hari bermula 6 petang hingga 12 tengah malam. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    Halim, 52, pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata petugas perlu mengangkat tong sampah bersaiz 120 liter hingga 1,100 liter setiap hari yang dipenuhi sampah, tidak termasuk sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab meletakkan sampah di luar tong sampah.

    Katanya selain itu juga, petugas kebersihan perlu berdepan sikap orang awam yang sambil lewa meletakkan kenderaan tidak mengikut petak disediakan sehingga menyebabkan kru terpaksa ke lokasi lain kemudian kembali semula untuk mengutip sampah.

    Turut menghadapi kekangan sama, V. Ramesh, 37, yang bertugas sebagai Pekerja Am, Unit Sisa Pepejal (Pra USP) yang pernah dimarahi dengan kata-kata kesat apabila diminta mengalihkan kenderaan atau membuat teguran supaya sampah tidak dibuang merata-rata.

    “Masyarakat juga memandang rendah kami, pekerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) … saya pernah menasihati orang yang membuang sampah merata-rata sedangkan tong sampah berada berdekatan mereka, namun mereka tidak peduli,” katanya.

    Bapa kepada tiga anak itu berkata barangan kaca yang telah pecah sepatutnya dibungkus dengan baik dan diasingkan supaya tidak bercampur dengan sampah yang lain bagi mengelak petugas pembersihan mengalami kecederaan ketika bertugas.

    “Perkara ini nampak remeh bagi segelintir pihak, tapi ia membahayakan keselamatan kami serta jentera juga boleh rosak apabila ada barangan seperti kaca dan kayu dibuang begitu sahaja di dalam tong yang disediakan,” katanya.

    Selain itu, pasukannya juga terpaksa menghadapi sikap pengutip barangan kitar semula yang menyelongkar sampah untuk mengambil botol dan tin di dalam tong sehingga berselerak, namun semua kerenah itu bukanlah keluhan, sekadar inginkan sedikit rasa hormat dan kesedaran daripada masyarakat.

    Sementara itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata terdapat juga peniaga dari luar kawasan dan orang awam yang mengambil kesempatan melupuskan sisa perniagaan dan isi rumah mereka di pusat tong sampah di dalam kawasan pusat bandar sehingga menyebabkan lambakan sisa pepejal luar biasa.

    “Kami bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), pihak berkuasa tempatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis, persatuan peniaga dan badan bukan kerajaan bagi memperkasakan kesedaran pengurusan sisa pepejal yang berhemah,” katanya.

    Beliau berkata frekuensi kutipan sampah dilakukan oleh petugas pembersihan adalah setiap hari bermula 6 petang hingga 12 tengah malam dengan anggaran sisa kutipan enam hingga tujuh tan sehari.

    Mohd Norlisam berkata pengasingan sisa pepejal ialah alternatif terbaik dalam memastikan janaan sisa pepejal dapat dikurangkan ke tapak pelupusan, SWM Environment juga telah menyediakan platform program kitar semula iaitu program KITARecycle.

    Beliau berkata antara kempen kesedaran awam ialah menjadikan pengurusan sisa pepejal secara mampan sebagai satu daripada agenda Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dengan mengamalkan sistem Pengasingan Sisa Di Punca (SAS) dan 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula). – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda