Pelakon Hollywood, Krysten Ritter akhirnya kembali memegang watak Jessica Jones, seorang pahlawan hebat dalam dunia Marvel. Berita itu diumumkan secara rasmi dalam acara pertunjukan Disney untuk para pengiklan di New York baru-baru ini.
Ritter tampil bersama Charlie Cox, untuk mengumumkan dirinya akan bergabung dalam musim kedua siri Daredevil: Born Again.
“Gembira dapat kembali memegang watak Jessica setelah tiga musim dan juga The Defenders, dan kini menjadi bahagian dari Marvel Cinematic Universe (MCU),” ujar Ritter.
“Saya sangat teruja membangkitkan lagi karakter ikonik ini. Tanpa mendedahkan terlalu banyak, akan ada banyak kejutan bagi Jessica Jones. Musim ini akan menjadi luar biasa!” ujarnya.
Ritter pertama kali memegang watak Jessica Jones dalam drama bersiri berjudul sama yang tayang perdana di Netflix pada 2015. Drama bersiri itu merupakan bahagian dari lima projek kerja sama antara Marvel dan Netflix, bersama Daredevil, Luke Cage, Iron Fist, The Punisher, dan crossover The Defenders.
Jessica Jones bertahan hingga tiga musim, dengan musim terakhir tayang pada 2019 sebelum akhirnya dibatalkan, bersamaan dengan semua siri Marvel lainnya di Netflix.
Pembatalan tersebut terjadi seiring dengan rancangan Disney untuk membangun dunia MCU secara eksklusif di platform Disney+. – Agensi
