MUMBAI, 10 MAC – Krystyna Pyszková dari Republik Czech telah dinobatkan sebagai Miss World pada pertandingan gemilang yang diadakan di India, semalam.
Yasmina Zaytoun dari Lubnan merupakan naib juara pertama dalam kalangan 112 peserta dalam pertandingan yang diadakan di Mumbai, ibu kota kewangan dan hiburan India.
“Menjadi Miss World adalah impian yang menjadi kenyataan. Saya amat berbesar hati untuk mewakili negara saya dan nilai-nilai ‘kecantikan dengan tujuan’ di platform global,” kata Pyszkova.
Miss World 2023, Karoline Bielawska dari Poland, menyerahkan mahkota kepadanya, Pyszková kemudiannya melambai kepada orang ramai di Pusat Konvensyen Dunia Jio dan memeluk beberapa peserta lain.
Acara itu mempamerkan permaidani yang kaya dengan budaya, tradisi, warisan, seni dan kraf serta tekstil India kepada khalayak global yang besar.
Para peserta memakai skirt dan blaus bersulam tebal serta menari mengikut lagu-lagu popular Bollywood.
Pertandingan kecantikan kembali ke India buat kali pertama dalam 28 tahun.
Sini Shetty dari India tersingkir selepas mara ke peringkat lapan akhir. Enam wanita India telah memenangi gelaran itu, termasuk Reita Faria (1966), Aishwarya Rai (1994), Diana Hayden (1997), Yukta Mookhey (1999), Priyanka Chopra (2000) dan Manushi Chillar (2017).
Pertandingan ratu cantik Miss World ke-71 dihoskan oleh pembuat filem Bollywood, Karan Johar dan Miss World 2013, Megan Young dari Filipina. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/03/AP24069643529121-scaled.jpg)