Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Tanggungjawab pengurusan sumber biodiversiti negara bukan hanya dipikul oleh sebuah agensi kerajaan sahaja tetapi supaya pengurusannya dapat dilaksanakan secara teratur dan efektif, ia perlu kefahaman dan kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada daripada agensi kerajaan atau bukan kerajaan.
Oleh itu, adalah amat penting bagi kita untuk memupuk sebuah pendekatan berintegrasi yang mengharmonikan pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan sosio-ekonomi.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dalam kata alu-aluannya di perasmian Bengkel Pengemaskinian Dasar Biodiversiti Negara dan Pelan Tindakan Strategik (NBPSPA) yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, baru-baru ini.
Beliau juga menyatakan bahawa kepentingan biodiversiti bukan sahaja menjurus kepada kestabilan alam sekitar malah ia juga adalah pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Bengkel anjuran KSSUP melalui Jabatan Perhutanan yang diadakan pada 1 hingga 2 Oktober itu disertai oleh agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta agensi bukan kerajaan yang berkepentingan terhadap pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti.
Bengkel selama dua hari itu merupakan komitmen Negara Brunei Darussalam selaku anggota kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Konvensyen Kepelbagaian Biologi (UN CBD) khususnya terhadap penyelarasan dan pengemaskinian dasar biodiversiti negara ini selaras dengan petunjuk-petunjuk yang terkandung dalam Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF).
Dengan penyelarasan dan pengemaskinian berkenaan, adalah diharapkan supaya inisiatif-inisiatif pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti di peringkat nasional dan antarabangsa akan memberikan impak yang ketara bagi mengurangkan kehilangan atau kepupusan biodiversiti menjelang 2030.
Melalui bengkel berkenaan, adalah diharapkan juga supaya dasar biodiversiti yang dikemaskini adalah menyeluruh, merangkumi dan mengambil kira semua kepentingan daripada aspek semua pihak yang berkepentingan.
Negara Brunei Darussalam dan juga negara-negara anggota kepada CBD akan mengongsikan dasar biodiversiti kebangsaan masing-masing di Persidangan Biodiversiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2024 bagi Ahli kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (COP CBD 16) yang dijadualkan untuk diadakan pada 21 Oktober hingga 1 November di Cali, Colombia.
Negara Brunei Darussalam sentiasa komited dan terus memberikan sokongan terhadap mana-mana inisiatif yang berkaitan dengan pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti.
Pengurusan biodiversiti secara mampan adalah perlu demi kepentingan sosial, ekonomi dan kestabilan alam sekitar, bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga untuk generasi akan datang.