Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) giat menumpukan tiga aspek utama bagi memberi fokus kepada perancangan dan perlaksanaan program dan inisiatif yang menjurus usaha-usaha tertentu bagi Tahun Kewangan 2025/2026.
Tiga perkara utama berkenaan menjurus kepada mendukung pertumbuhan serta peningkatan keluaran industri di bawah sektor makanan; mendukung pertumbuhan dan pembangunan industri pelancongan; dan mendukung pembangunan dan pemuliharaan sumber hutan sekali gus menyumbang perkembangan ekonomi negara.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin antaranya menyentuh perkara berkenaan semasa menyampaikan Ulasan Menteri, berhubung Kenyataan Belanjawan bagi Rang Undang-Undang (2025) Perbekalan, 2025/2026 dan Usul Ketetapan Kumpulan wang Kemajuan yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua pada 1 Mac lalu, semasa berlangsungnya Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang bagi hari keenam di Bangunan Dewan Majlis baru-baru ini.
Terdahulu Yang Berhormat Dato turut menyokong cadangan peruntukan untuk KSSUP bagi Perbelanjaan Tahun Kewangan 2025/2026 sebanyak $107.45 juta, iaitu sebanyak $70.68 juta di bawah peruntukan perbelanjaan biasa bagi membiayai Emolumen sebanyak $41.55 juta; dan perbelanjaan berulang-ulang sebanyak $29.13 juta. Bagi projek RKN 12, harga rancangan sebanyak $284.96 juta telah diperuntukkan, yang mana sejumlah $36.77 juta telah disokong untuk disediakan di bawah peruntukan Perbelanjaan Kemajuan bagi Tahun Kewangan 2025/2026.
Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato menyatakan dalam mendukung pertumbuhan serta peningkatan keluaran dari sektor makanan dan menjamin sekuriti makanan negara, ianya bukan sahaja memfokuskan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan keluaran dari aktiviti-aktiviti keluaran primer tetapi juga memfokuskan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan keluaran dari aktiviti-aktiviti industri pemprosesan dan nilai tambah berasaskan pertanian dan perikanan, termasuk mengukuhkan keseluruhan ekosistem dan rantaian nilai yang berkaitan dengan industri ini.
Yang Berhormat Dato menjelaskan fokus utama penggunaan peruntukan pada tahun ini bertumpu kepada usaha-usaha untuk menaik taraf dan menyediakan infrastruktur asas industri supaya semua Kawasan Kemajuan Pertanian dan Perikanan mempunyai bekalan elektrik, air dan saliran yang mencukupi dan kondusif.
Selain daripada itu, peruntukan disalurkan bagi menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam pertanian dan perikanan bagi meningkatkan produktiviti ladang. Usaha ini juga diharap dapat menarik lebih ramai pengusaha baru, terutamanya para belia.
Keutamaan turut diberikan kepada program peningkatan kapasiti dan keupayaan Jabatan-jabatan sebagai Competent Authority, khususnya dalam keselamatan dan kualiti makanan serta akses pasaran. Ini merangkumi penyediaan makmal rujukan yang diiktiraf dan tenaga pakar terlatih untuk memenuhi piawaian antarabangsa seperti Brunei Good Agricultural Practice, Brunei Good Aquaculture Practice dan HACCP.
Seterusnya, bagi mendukung pertumbuhan dan pembangunan industri pelancongan, Yang Berhormat Dato antaranya menyatakan pihak kementerian sedang dalam proses penyediaan dan mengemaskini hala tuju strategi dan inisiatif-inisiatif yang dikenalpasti untuk dilaksanakan seperti yang dirancang di dalam Pelan Hala Tuju Industri Pelancongan.
Untuk itu, KSSUP akan terus menekankan usaha ke arah membangunkan, mempelbagaikan, mengukuhkan dan mempromosikan produk-produk pelancongan berteraskan culture, nature dan juga adventure; selain memastikan kemudahan, infrastruktur serta pemberian perkhidmatan pelancongan akan terus dipertingkatkan bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong.
Dalam mendukung pembangunan dan pemuliharaan sumber hutan negara, antara yang jelas oleh Yang Berhormat Dato, bahawa KSSUP akan terus memberi perhatian dalam usaha pemuliharaan hutan bagi menyokong pembangunan lestari, Dasar Perhutanan Negara, dan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim.
“Kementerian ini akan terus komited mendokong pemuliharaan sumber hutan melalui program penghijauan dan pemulihan hutan yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti hutan sebagai penyerap karbon. Sejak tahun 2020, secara kumulatif sejumlah 185 ribu batang pokok telah ditanam iaitu mencapai 37 peratus daripada sasaran penanaman 500 ribu batang pokok menjelang tahun 2035.”
“Kementerian ini sedang juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meneroka potensi perdagangan karbon dalam meningkatkan kutipan hasil kerajaan, termasuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek karbon hutan dan Projek Inventori Sumber Hutan, dan juga kerjasama dengan pihak yang berkaitan seperti Pejabat Perubahan Iklim Brunei. Inisiatif ini mendukung Strategi 6 (Carbon Pricing) di bawah Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam,” tambahnya.
Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan dalam mengembangkan industri perkayuan ke arah meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada KDNK, industri hiliran dan nilai tambah perkayuan akan memfokuskan dalam meningkatkan supply chain daripada industri primer melalui penggunaan kayu-kayu tempatan untuk diproses. Sejak tahun 2022, Ekspo Produk Perkayuan telah dianjurkan yang bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk perkayuan tempatan.
“Kementerian juga telah melancarkan logo Brunei Wood Product semasa Perasmian Ekspo Produk Perkayuan 2024 bertujuan untuk mengiktiraf produk-produk perkayuan tempatan negara sebagai produk yang berkualiti tinggi dan seterusnya menjamin penerimaan dari pasaran tempatan dan juga luar negeri dengan penekanan kepada penggunaan bahan kayu yang dibekalkan dari sumber hutan yang mampan dan boleh dikesan sumbernya,” kongsinya.
