Monday, March 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    KSSUP gariskan hala tuju pembangunan industri makanan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Dalam merangka hala tuju pembangunan industri makanan dan mengukuhkan sekuriti makanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah mengenal pasti enam komoditi utama iaitu beras, ayam, telur ayam, daging, sayur-sayuran dan ikan.

    Peningkatan pengeluarannya diharapkan dapat memperkukuh sara diri makanan negara, mengurangkan kebergantungan import, menstabilkan harga, memastikan bekalan mencukupi walaupun dalam krisis global serta merangsang pertumbuhan industri pertanian dan perikanan tempatan yang menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam Kenyataan Menteri semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato mengongsikan mengenai pencapaian bagi enam komoditi berkenaan daripada keluaran industri pertanian dan perikanan yang secara purata bagi tiga tahun kebelakangan iaitu 2022-2024 di mana bagi sektor padi (beras), negara telah mencapai 8 peratus sara diri, bagi telur ayam adalah 103 peratus, bagi daging ayam adalah 100 peratus, bagi daging kerbau dan lembu adalah sekitar 2.3 peratus, bagi sayur tropika adalah sekitar 72 peratus serta bagi ikan adalah sekitar 74 peratus.

    Purata keluaran sektor makanan merangkumi pertanian dan perikanan meningkat sekitar 41 peratus dalam tiga tahun kebelakangan iaitu daripada $525 juta pada 2017 kepada $742 juta setahun pada masa kini, jelas Yang Berhormat Dato.

    Gambar Freepik

    Manakala itu, bagi tanggapan bahawa tahap sara diri padi (beras) tidak berkembang, Yang Berhomat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menjelaskan bahawa ia sebenarnya telah meningkat daripada 4.8 peratus pada 2017 kepada purata 8 peratus bagi 2022-2024.

    Beliau menambah dengan komitmen kementerian, pengusahan dan peladang, sasaran 12 peratus dapat dicapai dalam masa beberapa tahun yang akan datang.

    KSSUP melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan akan melaksanakan tiga inisiatif utama dalam meningkatkan pengeluaran padi negara bagi mencapai sasaran berkenaan.

    Inisiatif-inisiatif berkenaan termasuk menggalakkan penggunaan varieti padi hibrid berpenghasilan tinggi seperti padi hibrid Sembada188 dan padi Yuan 158 yang boleh mencapai penghasilan lima hingga tujuh mt/ha/musim, menjalankan penyelidikan dan percubaan bagi kesesuaian varieti-varieti padi baru di kawasan berpengairan dan tidak berpengairan serta meningkatkan kesuburan tanah melalui Pertanian Regenaratif di samping memastikan pemeliharaan alam sekitar yang mampan dengan penggunaan baja kompos.

    Dalam usaha memperkukuhkan tahap sekuriti makanan negara, ulas Yang Berhormat Dato, kementeriannya berdepan cabaran besar seperti tanah yang asidik dan terhad, perubahan cuaca yang sukar diramal, ancaman penyakit serta cabaran dalam rantaian nilai ekosistem sektor makanan.

    “Justeru itu, pencapaian tahap sara diri tidak boleh direalisasikan secara serta-merta, sebaliknya memerlukan pendekatan strategik dan berterusan untuk menangani faktor-faktor ini sistematik dan mampan.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda