Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Beberapa program dan projek giat dilaksanakan ke arah meningkatkan keluaran produk makanan yang berkualiti, halal dan selamat daripada sektor makanan bagi industri primer seperti keluaran hasil industri ternakan, tanaman, penangkapan ikan, akuakultur serta keluaran daripada aktiviti industri pemprosesan dan nilai tambah berasaskan pertanian dan perikanan.
Pencapaian 2023 juga telah memfokuskan kepada penyejajaran Peta Jalan Industri Makanan dengan mengukuhkan ekosistem rangkaian nilai industri sektor makanan yang mempunyai impak berkesan untuk menyumbang secara signifikan kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekuriti makanan dan juga kepada pertumbuhan jumlah dan nilai eksport negara.
Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah berjaya menembusi pasaran eksport bagi komoditi telur ayam, musk melon, produk dari sumber perikanan udang dan ikan beku, produk berproses berasaskan daging dan produk berproses lain ke Sabah dan Sarawak, Malaysia dan Republik Singapura.
Selain itu, kementerian turut menyasarkan pengeksportan produk berproses berasaskan daging dan ayam segar ke Republik Singapura dan Malaysia serta meneruskan pengeksportan produk ikan beku dan udang ke Republik Rakyat China.
Pencapaian-pencapaian berkenaan dikongsikan oleh Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab semasa menyampaikan taklimat mengenai pencapaian, perkembangan dan hala tuju sektor sumber-sumber utama dan pelancongan bagi 2023 pada sesi Muzakarah KSSUP bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP hari ini.


Beliau turut mengongsikan bahawa KSSUP melalui Jabatan Perhutanan akan terus memastikan agar usaha dalam pembangunan dan pemuliharaan sumber hutan negara akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aktiviti pembangunan negara selaras dengan prinsip pembangunan yang mampan.
Dalam memenuhi komitmen kementerian bagi penyelarasan ‘protokol hijau’ di bawah Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, setakat ini, inisiatif penanaman anak-anak pokok telah mencapai 26 peratus daripada sasaran 500,000 penanaman anak pokok menjelang 2035.
Hadir semasa sesi muzakarah berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji
Metussin yang mengongsikan mengenai hala tuju strategik dan fokus utama dalam meningkatkan keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan serta pencapaian dan sasaran keluaran sektor sumber-sumber utama dan pelancongan.
Yang Berhormat Dato berkata, KSSUP menyedari akan cabaran untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang mampan bagi sektor-sektor utama seperti sektor pertanian, perikanan dan perhutanan serta pelancongan dengan mengambil kira perubahan trend ekonomi global, yang memerlukan kerjasama semua pihak secara kolektif untuk menghadapi cabaran semasa.
Sesi muzakarah berkenaan telah dihadiri oleh 17 orang ahli MMN dan diketuai oleh Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap I, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi; Timbalan Setiausaha Tetap II, Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar, pengarah-pengarah jabatan dan ketua-ketua bahagian serta pegawai-pegawai kanan di KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya.

