Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    KSSUP, HHRRC tingkat kerjasama bangunkan industri padi

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Majlis penuaian padi kajian kesesuaian varieti-varieti padi bagi ladang padi yang tidak mempunyai sistem pengairan telah diadakan di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Lekiun, Daerah Temburong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.

    Ia merupakan kesinambungan kepada majlis penanaman padi yang berlangsung pada 14 Disember 2023 dengan melibatkan kajian di kawasan tadahan hujan dan bagi musim ini, tiga varieti padi telah ditanam di KKP Lekiun iaitu AWD101, AWD102 dan AWD103.

    Menurut KSSUP, kajian tersebut merupakan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan China dalam membangunkan industri padi di negara ini yang mana fokus utama adalah untuk mendapatkan bekalan benih padi varieti berhasil tinggi dari China bagi menjalankan kajian kesesuaian di negara ini.

    Selain itu, untuk mendapatkan bantuan pakar pembiakan padi hibrid bagi membantu melaksanakan dan memperkukuhkan program pembiakan padi dan industri biji benih padi di negara ini.

    Hajah Tutiaty dan TYT Xiao Jianguo semasa majlis penuaian padi berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Hajah Tutiaty dan TYT Xiao Jianguo bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Penanaman padi menggunakan varieti padi berhasil tinggi merupakan strategi utama KSSUP dalam usaha untuk meningkatkan hasil padi yang diperolehi dari setiap hektar yang diusahakan.

    Pada masa ini, kajian giat dilaksanakan bukan sahaja di kawasan yang mempunyai sistem pengairan termasuk KKP Wasan dan KKP Batang Perhentian, tetapi juga di kawasan yang tidak mempunyai pengairan iaitu di KKP Lekiun.

    Ke arah ini, KSSUP melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sedang melaksanakan kerjasama penyelidikan dengan Pusat Penyelidikan Beras Hibrid Hunan (HHRRC), Republik Rakyat China untuk mengkaji kesesuaian beberapa varieti padi berhasil tinggi untuk ditanam di negara ini.

    HHRRC telah membangunkan pelbagai varieti padi berhasil tinggi termasuklah yang mampu mengeluarkan sehingga lima tan metrik sehektar semusim bagi kawasan tidak mempunyai pengairan.

    Kajian kesesuaian varieti lazimnya akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum beralih kepada peringkat projek rintis penanaman varieti padi yang terpilih dan seterusnya kepada penanaman pada skala yang lebih besar.

    Semasa acara tersebut, penerangan ringkas berkenaan maklumat potensi hasil bagi varieti-varieti padi yang dikaji dalam musim pertama berkenaan menggunakan tenik memotong tanaman telah disampaikan oleh Juruekopertanian di Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Siti Hamiz ah binti Haji Zinal Abadin. Seterusnya, majlis menyaksikan penuaian padi kajian menggunakan jentuai.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku pengerusi majlis, Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda