Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    KSSUP laksana pelbagai inisiatif majukan sektor pelancongan

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) memainkan peranan penting dalam memajukan sektor pelancongan yang merangkumi pembangunan produk pelancongan baharu yang menarik, seperti pelancongan berasaskan komuniti, ekopelancongan, kesejahteraan dan pelancongan pengembaraan serta peningkatan kualiti perkhidmatan pelancongan.

    Usaha promosi di peringkat antarabangsa juga dilaksanakan secara intensif untuk menarik lebih ramai pelancong ke Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf. – Gambar oleh Rafi Rosli

    Kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh industri pelancongan yang merupakan salah satu sektor utama yang dikenal pasti menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara, berpandukan Pelan Hala Tuju Industri Pelancongan, jelas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam perbahasan bagi usul Wawasan Brunei 2035 yang dicadangkan semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Pada masa yang sama, KSSUP turut memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memperkasa usaha kepelbagaian ekonomi dan pembangunan yang lestari serta mampan.

    “Sumbangan kementerian ini amat signifikan dalam mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan sosial, termasuk memperkukuh sektor bukan minyak dan gas seperti sekuriti makanan, pelancongan serta memastikan perlindungan alam sekitar terus terpelihara.

    “Walau bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan bergantung kepada Whole of Government dan Whole of Nation Approach. Ini melibatkan penyelarasan dan kerjasama yang padu antara pelbagai pihak berkepentingan,” tekan Yang Berhormat Dato.

    Beliau menekankan kerjasama erat di antara kementerian dan agensi kerajaan adalah penting dalam menggubal dasar, perundangan dan peraturan yang mesra perniagaan dan seterusnya menjayakan program dan projek dengan lancar serta efisien.

    Ke arah itu, penglibatan sektor swasta dan penglibatan komuniti amat penting.

    Mengulas mengenai peranan sektor swasta, Yang Berhormat Dato menyatakan sektor berkenaan merupakan penggerak dan pemacu perekonomian negara di mana melalui model kerjasama awam-swasta (PPP) akan membolehkan pihak swasta terutamanya pihak PMKS berganding bahu dengan sektor awam untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan ekonomi dan seterusnya membantu menggerakkan serta memajukan ekonomi negara.

    Selain itu, tambahnya, pelaburan langsung asing (FDI) dapat memberi kesan limpahan yang diharapkan akan mengembangkan ekonomi perniagaan bagi syarikat tempatan serta menjana peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

    Ketika menyentuh mengenai penglibatan komuniti, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyatakan menerusi program-program pembangunan komuniti dan kesedaran awam, ia dapat membantu memastikan masyarakat tempatan memahami dan menyokong inisiatif-inisiatif kementerian.

    “Ini termasuk penglibatan akar umbi melalui MPM/MPK dalam aktiviti perekonomian secara pro-aktif,” katanya.

    Dengan adanya sinergi pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation Approach, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa kementeriannya yakin akan memberikan sumbangan yang signifikan terhadap pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035, memastikan Brunei Darussalam berkembang sebagai sebuah negara yang makmur, lestari serta berdaya saing di peringkat global di samping menjana peluang pekerjaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda