Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Pendedahan Negara Brunei Darussalam dalam media dan filem diakui mempunyai kesan positif kepada usaha mempromosikan negara sebagai sebuah destinasi pelancongan.
Media dan filem mempunyai potensi besar untuk digunakan sebagai alat untuk mempromosikan mercu tanda pelancongan di Negara Brunei Darussalam.
Walaupun masih berada di peringkat awal, pelbagai usaha telah dijalankan untuk menarik lebih banyak penggambaran di negara ini, bagi menggambarkan keunikan dan keindahan negara.
Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mengambil maklum mengenai beberapa produksi antarabangsa telah memilih Negara Brunei Darussalam sebagai lokasi penggambaran termasuk Law of the Jungle pada 2015 dan Top Gears 2018.
“Penggambaran ini, memberi impak positif seperti meningkatkan pelancongan dari Korea yang telah meningkat sebanyak 53 peratus dari 2015 hingga 2019, dengan disokong oleh penerbangan terus Brunei-Korea.”

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) , Yang Berhormat Chong Chin Yee mengenai usaha memanfaatkan pendedahan media dan filem untuk mempromosikan mercu tanda negara sebagai destinasi pelancongan semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato berkata pihak KSSUP baru-baru ini telah bekerjasama dengan Indosiar bagi memaparkan pengalaman Ramadan sebagai inisiatif pelancongan Islam bagi menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia untuk menghayati bulan Ramadan di Negara Brunei Darussalam.
Dengan adanya kerjasama dengan Indosiar berkenaan, mereka telah menerbitkan siri Ramadan di Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Dato menerangkan usaha itu merupakan salah satu strategi yang akan diambil oleh kementeriannya melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dengan kerjasama pihak penerbangan, agensi-agensi pelancongan dan perhotelan dalam usaha untuk menarik lebih ramai lagi, produksi rancangan televisyen atau penggambaran filem ke Brunei untuk memastikan negara menjadi sebuah destinasi bagi penerbitan filem atau rancangan-rancangan televisyen berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan mengenai penubuhan sebuah kawasan khas sebagai Kampung Budaya yang mengumpulkan tujuh puak Brunei bagi memudahkan kunjungan pelancong, Yang Berhormat Dato menerangkan kementeriannya akan berbincang dengan kementerian-kementerian relevan yang lain akan kesesuaiannya dan jika terdapat kawasan yang sesuai, penubuhan kampung berkenaan akan dipertimbangkan.
Manakala itu, dalam usaha untuk memajukan ekopelancongan, Yang Berhormat Dato berkata kementeriannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah usaha itu termasuk mengadakan ekspedisi saintifik di Hutan Batu Apoi, Temburong bertemakan Exploring Brunei Darussalam Biodiversity dan Conference on Biodiversity sempena Brunei MYCE 2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Di samping itu, Negara Brunei Darussalam juga mencalonkan beberapa taman rekreasi untuk disenaraikan sebagai Queen’s Commonwealth Canopy yang mengiktiraf komitmen kepada pemuliharaan hutan hujan negara ini.
Selain itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Tropical Biodiversity Research Experience anjuran UBD pada Julai nanti akan memberi peluang kepada penyelidik antarabangsa untuk meneroka khazanah biodiversiti Brunei. Semua usaha itu dihasratkan untuk mempromosikan dan memperkukuhkan kedudukan Brunei sebagai destinasi utama di rantau ini daripada segi ekopelancongan dan biodiversiti.
Dengan adanya inisiatif itu, jelas Yang Berhormat Dato, bukan sahaja kita dapat menarik pelancong biasa malah juga pelancong pendidikan dan pelancong penyelidikan untuk berkunjung ke negara ini.