Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Negara Brunei Darussalam sentiasa aktif mempromosikan destinasi serta aktiviti pelancongan bagi meningkatkan lagi jumlah pelancong ke negara ini.
Pelancongan pendidikan telah dikenal pasti sebagai salah satu aktiviti pelancongan berpotensi besar yang boleh diusahakan bersama dengan kementerian-kementerian lain yang berkenaan untuk dimajukan.
Beberapa buah negara jiran seperti Singapura, Malaysia, Indonesia dan Jepun amat beminat dalam pelancongan pendidikan, jelas Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin ketika memberikan penerangan kepada cadangan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN),Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai kerjasama bersama kementerian lain bagi pelancongan pendidikan semasa Persidangan MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.
Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan ejen-ejen pelancongan yang berkaitan sedang berusaha ke arah mencapai menghidupkan pelancongan pendidikan dengan harapan bahawa pelajar-pelajar dari luar negara akan mula berkunjung ke Brunei pada penghujung 2024.
Cadangan memajukan pelancongan pendidikan turut dikemukakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang menyatakan bahawa pelajar-pelajar dari Malaysia dan Singapura yang telah melawat ke Brunei memberikan maklum balas positif mengenai pengalaman mereka di negara ini menerusi lawatan ke tempat-tempat menarik serta mengikuti pelbagai aktiviti yang di luar daripada biasa yang mereka alami.
Mengulas mengenai perkara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyambut baik cadangan berkenaan dan menerangkan bahawa kementeriannya telah membuat perundingan dengan ejen-ejen yang berkaitan seperti di Singapura yang khusus mengendalikan pelancongan pendidikan di mana mereka ingin untuk menghidupkan semula kunjungan pelajar-pelajar ke luar negara termasuk berkunjung ke Negara Brunei Darussalam.
Beliau juga menyeru ejen-ejen yang bertanggungjawab bagi pelancongan pendidikan dari Singapura untuk datang ke Brunei bagi mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi pelancongan tempatan untuk memudahkan kunjungan lebih ramai pelajar dari Singapura ke Brunei.
Usaha itu, tambah Yang Berhormat Dato, turut dilanjutkan kepada negara-negara jiran yang lain bagi membolehkan mereka untuk membawa pelajar-pelajar mereka ke Brunei di mana keamanan dan kebersihan negara dengan diisikan aktiviti-aktiviti menarik dijadikan sebagai tarikan serta destinasi amat bersesuaian bagi kunjungan para pelajar.



